suria

21,000 Saman Di KLIA, 11,000 Di LCCT Akibat Salah Letak Kenderaan - KPD Sepang

SEPANG: Sebanyak 21,000 saman akibat kesalahan meletak kenderaan di kawasan balai ketibaan dan balai berlepas Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dikeluarkan bagi tempoh Januari hingga Julai lepas, kata polis.

Ketua Polis Daerah Sepang Supritendan Imran Abdul Rahman berkata sebanyak 11,000 saman lagi dikeluarkan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) akibat kesalahan yang sama untuk tempoh yang sama.

"Ini bermakna purata 3,000 saman sebulan dikeluarkan di KLIA dan 1,500 saman sebulan di LCCT sama ada untuk kenderaan persendirian atau komersil.

"Masalah kesesakan lalu lintas di depan terminal KLIA dan LCCT ini bukan isu baru. Ini akibat sikap pengguna yang meletakkan kenderaan sesuka hati terutama di depan balai ketibaan dan balai berlepas menyebabkan kesesakan lalu lintas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di sini Jumaat.

Sehubungan itu beliau berkata anggota polis trafik akan meningkatkan penguatkuasaan daripada masa ke semasa di kedua-dua terminal dan pada masa yang sama berharap pengguna meletakkan kenderaan di tempat yang disediakan.

Sementara itu, sempena Aidilfitri yang bakal menjelang, Imran turut menasihatkan orang ramai yang ingin pulang berhari raya di kampung supaya memastikan rumah berkunci, memasang penggera atau memaklumkan kepada jiran yang tidak pulang ke kampung atau kepada anggota polis sendiri bagi memastikan tiada kejadian buruk berlaku. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain