suria

Anggap Penubuhan Jawatankuasa Parlimen Satu Helah: Pembangkang Dibidas

KUALA LUMPUR: Pakatan pembangkang hari ini dibidas kerana memberi gambaran bahawa Jawatankuasa Khas Terpilih Parlimen yang ditubuhkan untuk memperkukuhkan sistem pilihan raya negara adalah tidak adil dan hanya helah politik Barisan Nasional (BN).

Anggota Parlimen Barisan Nasional kawasan Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahalan menyifatkan pembangkang keliru dengan jawatankuasa itu.

"BN adalah majoriti di dalam dewan dan seharusnya ia diwakili mengikut jumlah berkenaan. Oleh itu kita (BN) mesti mendahului dari segi jumlah dalam hal ini. Soal adil tak adil tidak timbul sama sekali," katanya kepada Bernama di sini Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai sebagai mengulas reaksi pembangkang bahawa komposisi jawatankuasa itu yang terdiri lima wakil dari parti kerajaan, tiga dari pembangkang dan seorang bebas tidak adil dan mereka mahukan jumlah yang seimbang.

Abdul Rahman berkata pengerusi jawatankuasa itu tidak semestinya wakil pembangkang. "Mesti ingat bahawa segala percakapan malah batuk sekalipun, proses di dalam jawatankuasa ini akan direkodkan di dalam penyata rasmi. Jadi soal pengerusi tidak memberi ruang untuk mereka tidak bercakap juga tak ada.

"Apatah lagi dalam jawatankuasa pilihan khas yang mana isunya hebat diperkatakan oleh semua pihak. Apa yang berlaku di dalam jawatankuasa itu akan diperhatikan secara halus dan teliti oleh semua termasuk pihak antarabangsa," kata Abdul Rahman yang juga anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Beliau berkata bahawa selepas mesyuarat, jawatankuasa akan mengeluarkan laporan yang perlu dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibahas. "Jadi semua pihak boleh bercakap, ada peluang lagi untuk berbahas. Anggota Parlimen yang menganggotai jawatankuasa juga mempunyai imuniti, kuasa dan dilindungi mengikut undang-undang," katanya.

Beliau membidas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat Mohamed Azmin Ali yang berkata pembangkang tidak mahu menyertai jawatankuasa berkenaan sekiranya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak memenuhi harapan mereka. "Ini menghina satu institusi di mana beliau sepatutnya mengangkat martabat Parlimen ini," katanya.

Anggota Parlimen Bebas Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata desakan agar jawatankuasa itu dipengerusikan oleh atau diketuai oleh wakil pembangkang adalah "tidak waras sama sekali".

Katanya ini kerana mereka adalah pihak berkepentingan yang telah lama mempolitikkan sistempilihan raya negara.

Zahrain mencadangkan agar seorang Anggota Parlimen Bebas dilantik untuk mempengerusikan jawatankuasa berkenaan agar matlamat sebenar penubuhannya dapat dicapai tanpa gangguan berunsur politik atau kepentingan mana-mana pihak. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain