suria

Hotel Permai Inn Sasar Tarik Ramai Pelancong Singapura, Thailand Dan China

KUALA TERENGGANU: Hotel milik kerajaan negeri Terengganu, Hotel Permai Inn, menyasarkan untuk menarik lebih ramai pelanggan dari Singapura, Thailand dan China selain para pelancong tempatan, bagi mencapai matlamat perolehan RM10 juta dalam masa dua tahun akan datang.

Pengerusinya, Lt-Jen (B) Tan Sri Wan Abu Bakar Wan Omar berkata hotel itu berkeyakinan mencapai sasaran itu berikutan keupayaannya mencatatkan perolehan hampir RM1 juta untuk Jun lalu.

Katanya hotel itu mempunyai perancangan tersendiri untuk menarik pelanggan, terutama pelancong dalam dan luar negara yang berkunjung ke Terengganu.

"Kita mensasarkan pelancong asing, terutama dari negara China, kerana mereka datang secara berkumpulan. Jika dapat tarik mereka menginap di hotel ini, ia akan meningkatkan peratusan kadar penginapan di hotel ini," katanya.

Hotel itu, yang mempunyai 220 bilik dengan harga bermula dari RM160 hingga RM800 semalam, bergantung kepada jenis bilik.

Ia mencatatkan kadar penginapan 65 peratus hingga 80 peratus sebulan dan adalah yang kedua terbesar di Terengganu pada masa ini.

Ia terletak kira-kira lima kilometer dari bandar ini.

"Tahun lepas kita buat kalendar yang memaparkan lokasi pelancogan menarik di Terengganu, sebuah buku mengenai destinasi pelancongan juga dijangka diterbitkan tahun depan."

Katanya, dengan cara penerbitan kalendar yang memaparkan tempat-tempat menarik itu, bukan sekadar pelancong luar akan mengenali Terengganu, namun pelancong tempatan juga akan turut terdedah dengan lokasi berkenaan.

"Kita juga sentiasa melatih kakitangan hotel itu untuk memberi perkhidmatan bertaraf empat bintang walau pun hotel ini masih dalam kategori tiga bintang," katanya kepada pemberita di sini.

Selain itu, Wan Abu Bakar berkata pihaknya juga amat memerlukan sokongan media untuk membantu memperkenalkan hotel itu.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain