suria

Doa Hari Jadi PM: Malaysia Terus Aman Dan Makmur

KANGAR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata doa beliau pada sambutan hari jadi ke-58 beliau pada Sabtu ialah supaya Malaysia terus menjadi sebuah negara aman dan makmur.

Beliau juga berdoa agar semua perancangan besar kerajaan untuk Malaysia berjaya.

Bagaimanapun, katanya walaupun hari ini ialah hari jadi beliau, ia adalah hari biasa bagi dirinya dengan tetap menjalankan tugasnya demi kebaikan rakyat.

"Hari ini adalah hari biasa bagi saya tetapi saya tetap nak datang ke Perlis pada hari jadi saya. Sama ada ia hari jadi saya atau tidak, saya akan lakukan yang terbaik untuk rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) Perlis di sini Sabtu.

Mengenai kajian Global Peace Index (GPI) 2011 yang mendapati Malaysia adalah negara ke-19 paling selamat daripada 153 negara di seluruh dunia dan paling aman di Asia Tenggara serta keempat di Asia Pasifik selepas New Zealand, Jepun dan Australia, Najib berkata Malaysia mencapai ranking sedemikian kerana usaha Malaysia sendiri dan sistem yang diwujudkan iaitu sistem keselamatan dan sistem nilai.

"Sistem nilai yang kita pupuk selama ini menjadikan rakyat Malaysia hampir semua benci dan tolak keganasan. Ini perlindungan yang terbaik sekali bahawa kita tolak fahaman ekstrem, militan dan keganasan," katanya.

Mengulas mengenai kejadian tembakan berkembar dan serangan bom di Oslo dan kepulauan berdekatannya di Norway yang meragut sekurang-kurangnya 80 nyawa hari ini, Perdana Menteri berkata ia satu malapetaka yang dahsyat memandangkan begitu ramai yang ditembak mati.

"Yang ditembak ramai belia dalam belasan tahun. Ia sangat mengerikan dan dahsyat. Ini beri kejutan yang besar kepada negara Norway dan negara-negara lain. Kita tak tau bila seseorang boleh bertindak sedemikian rupa dengan keganasan luar biasa dan tak diduga sama sekali," katanya.

Mengenai pertemuan dengan pemimpin parti komponen BN pada Sabtu, Najib berkata beliau berharap BN Perlis dapat memenangi semua kerusi pada pilihan raya umum akan datang iaitu tiga kerusi Parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Pada pilihan raya umum lepas, prestasi BN Perlis sangat baik apabila menongkah arus berbanding keputusan keseluruhan BN. BN hanya tewas dua kawasan DUN," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain