suria

Dua Beranak Maut Kenderaan Rempuh Belakang Jentolak

MARANG: Dua beranak maut dalam satu kemalangan setelah kenderaan yang mereka naiki merempuh belakang jentolak di tepi jalan di Kampung Jambu Bongkok, di sini petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.45 petang semalam di kilometer 62, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan menyebabkan Wan Shaari Zakaria, 50, dan anaknya Wan Shakifli Wan Shaari, 8 tahun yang berasal dari Kampung Pasir Puteh, Merchang, mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mazlan Yahya berkata kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Wan Shaari dipercayai terbabas dan masuk ke laluan bersebelahan lalu merempuh sebuah jentolak yang berhenti di tepi jalan.

"Ketika tiba di tempat kejadian, kereta yang dipandu mangsa dari arah Dungun hilang kawalan dan merempuh belakang sebuah jentolak yang berhenti ditepi jalan," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Difahamkan, dua beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari kedai gunting rambut di bandar Dungun.

Mazlan berkata pemandu jentolak tidak mengalami sebarang kecederaaan.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Hospital Dungun untuk dibedah siasat.

Sementara itu, pemandu jentolak terbabit, Mohd Rowi Abu Bakar, 48, sewaktu ditemui berkata, sebelum kejadian, beliau memandu jentera itu untuk menjalankan kerja menggali lubang bagi menanam kabel.

Katanya, beliau memberhentikan jentolak itu di tepi jalan untuk mengambil duit sewa jentera tersebut daripada seorang kontraktor di tempat kejadian.

"Tiba-tiba terdengar dentuman kuat sebelum saya dapati sebuah kereta remuk teruk di bahagian hadapan selepas merempuh belakang jentolak yang saya pandu.

"Saya bersama beberapa rakan sekerja segera menuju ke kereta itu lalu menarik keluar kedua-dua mangsa ke tempat selamat kerana bimbang kereta terbakar, bagaimanapun dua beranak itu meninggal dunia sebelum sempat dihantar ke hospital," ujarnya.- BERNAMA

Artikel Lain