suria

Kumpulan Syarikat Naza Cadang Buka 25 Lagi Cawangan Tutti Frutti

IPOH: Kumpulan Syarikat Naza bercadang membuka 25 lagi cawangan Tutti Frutti Frozen Yogurt di Malaysia, menjadikan jumlah keseluruhannya kepada 65 buah menjelang hujung tahun ini.

Pengarah Eksekutif Naza Tutti Frutti (Malaysia) Sdn Bhd Izham Hakimi Hamdi berkata pada masa ini, Tutti Frutti mempunyai 40 cawangan, masing-masing satu di Pahang, Pulau Pinang dan Johor, manakala bakinya di Lembah Klang selain tiga lagi di luar negara.

"Dalam tempoh beberapa bulan akan datang, syarikat akan melebarkan sayap ke Melaka, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak dan Brunei," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan cawangan terbaru Tutti Frutti di Medan Gopeng, Ahad.

Beliau berkata Perak dilihat mempunyai potensi yang baik berdasarkan pembukaan cawangan kedua Tutti Frutti di Ipoh, selepas kiosk pertama beroperasi di Simee Garden.

Katanya, cawangan kedua yang berkonsepkan rumah kedai itu dijangka menarik lebih ramai pelanggan berikutan kemudahan tempat meletak kereta dan waktu operasi lebih panjang.

"Kita juga berharap ada lagi pelabur yang berminat untuk membuka perniagaan di bawah jenama Tutti Frutti, terutama di Manjung dan Kampar, selain berhasrat untuk membuka sekurang-kurangnya dua lagi cawangan di bandaraya Ipoh.

"Bagi memulakan perniagaan itu, kos pelaburan dianggarkan sekitar RM400,000 hingga RM600,000 iaitu bergantung kepada konsep yang dikehendaki oleh pelabur itu sendiri," katanya.

Izham Hakimi juga berkata perisa Tutti Frutti ditambah bagi memenuhi cita rasa rakyat tempatan.

"Terdapat enam perisa baru yang akan diperkenalkan tidak lama lagi dan kita juga sedang menunggu beberapa perisa lain untuk diperkenalkan di pasaran," katanya.

Sementara itu, pada majlis tersebut, Naza Tutti Frutti turut menderma sebuah van dengan 12 tempat duduk kepada rumah anak yatim Siraman Kasih, Rawang.- BERNAMA

Artikel Lain