suria

Perhimpunan: Keputusan PKR Diketahui Rabu Ini

PETALING JAYA: Keputusan sama ada Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menyertai perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada 9 Julai ini hanya diketahui selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang dijadualkan berlangsung di ibu negara, Rabu ini.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin juga akan diperhalusi pada mesyuarat mengenai perhimpunan itu nanti.

"Kita menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong yang menyeru agar kedua-dua pihak mengadakan rundingan. Nasihat baginda amat kami hargai.

"Saya enggan memberikan sebarang komen lanjut. Kami akan buat keputusan berhubung perkara ini dalam satu mesyuarat pada Rabu ini," katanya ketika dihubungi mStar Online, Isnin.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan gabungan itu memohon menghadap baginda berhubung isu pilihan raya telus dan adil.

Dalam satu mesej menerusi laman Twitternya pagi Isnin di London, Anwar berkata beliau telah menghubungi Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai perkara itu dan menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr Tan Seng Giaw, turut melihat secara positif seruan baginda agar kedua-dua berunding untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik. "Seruan baginda itu ada baiknya. Semua pihak termasuk Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri dikehendaki supaya berunding secara aman dan damai.

"Namun rundingan itu perlu disegerakan kerana sekarang tinggal lima hari saja lagi sebelum perhimpunan tersebut diadakan," jelasnya.

Tan yang juga Ahli Parlimen Kepong memberitahu beliau menyambut baik cadangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersedia untuk membenarkan perhimpunan Bersih 2.0 jika diadakan di stadium.

"Jika perhimpunan ini diadakan di stadium, kekecohan dapat dipantau dengan baik. Malah peniaga juga tidak akan mengalami kerugian," katanya.

Artikel Lain