suria

Yayasan Pengaman Mahu Polis Guna ISA Terhadap Penganjur Bersih

SHAH ALAM: Yayasan Pengaman Malaysia (Pengaman) mahu pihak polis mengambil tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap penganjur perhimpunan haram Sabtu ini jika situasi menjadi mendesak dan mencabar.

Pengerusi yayasan itu Tan Sri Samsuri Arshad, yang merupakan bekas timbalan ketua polis negara berkata tindakan itu wajar diambil sekiranya polis mempunyai maklumat risikan yang mengatakan terdapat ancaman kepada kepentingan awam dan keselamatan negara.

"Pengaman yakin polis mempunyai maklumat risikan yang lengkap mengenai kekacauan, keganasan dan kemusnahan, yang mungkin berlaku jika perhimpunan haram ini dibenarkan, terhadap keadaan keselamatan negara dan ketenteraman awam.

"Ini bagaimanapun terpulang kepada budi bicara polis yang berasaskan kepada risikan khas," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Samsuri percaya polis telah bertindak berdasarkan alasan munasabah apabila tidak meluluskan permit untuk perhimpunan itu diadakan setelah mengambil kira maklumat risikan mengenai trend keselamatan di dalam dan luar negara.

Samsuri berkata pihak berkuasa juga perlu membekukan aset milik penganjur perhimpunan itu sekiranya mendapati aset itu diperoleh dengan melanggar undang-undang negara.

"Ini termasuk menerima dana daripada pihak tertentu yang bertujuan menggugat keselamatan dan keamanan negara," katanya.

Pada Isnin, Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata polis akan menyiasat dakwaan mengenai sebuah bank tempatan yang dikesan digunakan oleh penganjur perhimpunan haram yang dirancang Sabtu ini, Datuk S. Ambiga untuk menerima dana daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) asing.

Sementara itu, bekas pengarah cawangan khas Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdul Rahman berkata penganjur perhimpunan itu sebenarnya boleh menyelesaikan tuntutan mereka itu melalui proses mahkamah mahupun Parlimen.

"Mengapa penganjur ini mahu menimbulkan isu sekarang sahaja, kenapa tidak beberapa hari selepas pilihan raya umum lepas," katanya.

Sementara itu, Senator Boon Som Inong yang mewakili masyarakat minoriti keturunan Siam turut mengingatkan masyarakat supaya tidak menyertai perhimpunan haram Sabtu ini.

Beliau berkata mereka sebaliknya perlu bersama-sama dengan kerajaan mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara yang demokrasi ini.

Anggota Dewan Negara itu berkata semua pihak sepatutnya mengambil iktibar dan nasihat daripada titah khas Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin Ahad lepas. "Kepercayaan Tuanku Mizan kepada kepimpinan kerajaan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang diberi mandat oleh rakyat menerusi pilihan raya yang lepas, wajib dihormati oleh semua pihak.

"Seperti yang dititahkan oleh Tuanku, di dalam keghairahan kita berpolitik bagi menyuburkan demokrasi dalam negara ini, kita hendaklah dipastikan juga bahawa tuntutan demokrasi tidak akan membawa kemusnahan kepada negara," katanya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Pada Ahad lepas, Yang di-Pertuan Agong bertitah menyeru rakyat negara ini tidak terlalu terikut-ikut dengan amalan negara-negara luar secara umumnya kerana keharmonian dan kestabilan negara adalah asas penting bagi sesebuah negara yang perlu dipertahankan semua pihak.

Sehubungan itu, Boon berkata, pihak yang tidak berpuas hati sepatutnya menggunakan saluran yang betul termasuk berjumpa terus dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menyampaikan pandangan mereka.

"Bahkan, mereka juga tidak sepatutnya memperalatkan institusi diraja demi mencapai impian dan cita-cita sempit mereka," katanya.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik pula berkata tindakan perhimpunan haram Sabtu ini cuba melibatkan Yang di-Pertuan Agong adalah satu perbuatan yang mempersendakan institusi diraja.

Ia adalah satu tindakan yang "biadap, kurang ajar dan tidak boleh diterima rakyat" dan tindakan kerajaan mengharamkan perhimpunan itu adalah "satu tindakan yang rasional, bijak dan patriotik," katanya pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Abdul Rahim berkata Gabem juga percaya apa yang dirancangkan oleh penganjur perhimpuan haram itu adalah "semata-mata untuk mengalihkan pandangan dan fokus umum terhadap isu-isu akhlak yang sedang membelenggu ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini."

Jika sebelum ini Anwar dipandang sebagai hero oleh sesetengah pihak, dengan perbicaraan kes liwat dan pendedahan video aksi seks yang melibatkannya membuatkan semangat dan kewibaannya kian luntur dan mula ditolak oleh generasi muda, dakwanya.

"Kerana itu Bersih (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil)merancang untuk mengadakan demonstrasi jalanan secara ganas supaya isu akhlak Anwar dapat ditutup dengan harapan keyakinan rakyat terhadap pembangkang yang semakin hambar dan luntur dapat dibangkitkan semula," dakwanya.

Abdul Rahim berkata tindakan kerajaan mengharamkan perhimpunan itu adalah tepat dan terpuji kerana jika berlaku perhimpunan haram itu tentunya memberi kesan buruk kepada kalangan peniaga, khususnya Bumiputera, selain kepada imej negara.

Beliau berkata sebagai sebahagian daripada pengendali mekanisme ekonomi negara, Gabem yang menaungi 182 persatuan dan badan-badan ekonomi Melayu dengan keanggotaan melebihi sejuta orang menyokong penuh tindakan kerajaan. -BERNAMA

Artikel Lain