suria

Perhimpunan Bersih 2.0: Peniaga Bimbang Rezeki Terjejas

KUALA LUMPUR: Para peniaga yang mencari rezeki sepanjang jalan di mana Perhimpunan Bersih 2.0 akan dijalankan meminta aktiviti yang dianjurkan pembangkang itu dibatalkan.

Sementara memori pahit daripada perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan Hindu Rights Action Force (Hindraf) yang dilakukan pada tahun 2007 masih lagi segar di ingatan, peniaga-peniaga itu mengganggarkan kerugian sejumlah jutaan ringgit akan mereka hadapi kali ini jika niat itu diteruskan.

Mereka juga bimbang apabila Pemuda Umno dan Perkasa mengumumkan rancangan untuk mengadakan perhimpunan jika Bersih 2.0 dibuat pada 9 Julai.

Pengurus kedai menjual kain, Rilla Leritta Ruslan berkata perhimpunan itu kali ini akan menjejaskan perniagaan kedua-dua buah kedainya.

"Dalam perhimpunan pada tahun 2007, kedai kami di Jalan Masjid India terjejas dan kali ini kedai baru kami di Jalan Tuanku Abdul Rahman juga mungkin akan terjejas.

Mengimbas kembali peristiwa pertempuran penunjuk perasaan dengan pihak polis pada masa itu, Rilla memberitahu ramai pengunjung yang meminta perlindungan daripada peniaga kedai-kedai di kawasan perhimpunan berlaku.

"Kebanyakan pelanggan kami adalah keluarga dan masih saya ingat ada seorang ibu membawa bayinya meminta kami memberi mereka perlindungan daripada gas pemedih mata dan meriam air.

Seorang peniaga barangan kemas di Jalan Masjid India, Abu Bakar Sidik menganggarkan kerugian sebanyak RM200,000 sehari akan dialaminya jika perhimpunan itu diadakan.

Dia menyatakan kembimbangannya jika penunjuk perasaan bertukar menjadi lebih agresif di kawasan yang terdapat banyak kedai menjual barang kemas.

"Bayangkan jika 10 orang menyerang kedai, kami sememangnya tidak boleh melakukan apa-apa jadi adalah lebih baik jika pihak berkaitan berbincang secara damai," katanya.

Pemilik kedai kasut, Yong Fah Chin yang mempunyai kedai di Jalan Tuanku Abdul Rahman berkata dia sangat bimbang dengan kerugian yang bakal dia dan peniaga lain hadapi.

"Kami risau jika kedai kami mengalami kerosakan," kata perniaga berusia 76 tahun itu.

Yong berkata walaupun rakyat mempunyai kebebasan untuk mengadakan perhimpunan, namun ia haruslah diadakan di tempat yang bersesuaian seperti di stadium.

Pada tahun 2007, Bersih dan Hindraf membuat perhimpunan di beberapa kawasan pelancongan utama dan kawasan tumpuan ramai di Kuala Lumpur seperti Masjid Negara, Masjid Jamek, Dataran Merdeka, Pasar Seni, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Ampang.

Kekecohan itu menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas yang sangat teruk di tengah bandar dan kawasan lebuhraya berdekatan, kerosakan kenderaan malah peniaga yang mencari rezeki di kawasan-kawasan tersebut menerima kerugian kerana terpaksa menutup perniagaan mereka jauh lebih awal.

Pengerusi Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga mengumumkan akan mengadakan perhimpunan jalanan pada 9 Julai manakala Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddinn dan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali juga mengumumkan akan mengadakan aktiviti itu pada tarikh yang sama.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata tiada kebenaran polis akan dikeluarkan untuk perhimpunan tersebut.

Artikel Lain