suria

Rakyat Perlu Hargai, Cintai Sejarah - Rais

KUANTAN: Rakyat perlu lebih menghargai dan mencintai sejarah serta bukti sejarah yang selama ini menjadi pembuktian kewujudan warisan negara, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Beliau berkata perkara itu perlu diutamakan memandangkan pada masa ini banyak pihak yang salah faham tentang pelbagai aspek mengenai sejarah negara, negeri dan sejarah lain yang berkaitan.

"Saya sarankan setiap warganegara Malaysia mencintai dan menghargai sejarah dan bukti sejarah negara dan negeri dan pada masa yang sama pemeliharaan sejarah ini (perlu) diberikan penegasan yang amat tinggi," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian bangunan Arkib Negara Malaysia (ANM) cawangan Pahang yang disempurnakan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di sini Khamis.

Beliau berkata bagi memupuk sikap menghargai dan mencintai sejarah oleh semua lapisan masyarakat, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing terutamanya ANM, badan bukan kerajaan dan para pengkaji sejarah.

Pihak arkib di seluruh negara harus menyusun dan menggerakkan program yang berkaitan untuk rakyat supaya semangat cintakan sejarah itu dapat dihayati oleh mereka terutamanya generasi muda, katanya.

"Arkib Pahang contohnya mempunyai khazanah cukup kaya dan dengan adanya punca-punca ini kita perlu menilai dan hargainya tetapi mesti ada pembudayaan, mesti ada satu cara kita cintai fakta dan sejarah negara dengan cara yang disusun oleh pihak arkib," katanya.

Beliau yakin dengan adanya pelbagai teknologi moden di arkib seluruh negeri bagi mempercepatkan pencarian sesuatu fakta atau maklumat sejarah, akan memudahkan orang ramai mengenali dan memahami sejarah.

Teknologi itu juga mampu menarik lebih ramai pelajar yang mengambil bidang sejarah di peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah untuk mengkaji sejarah asal-usul negara dan negeri serta budayanya, katanya.

Katanya sewajarnya langkah-langkah tertentu disusun supaya sumber arkib yang bernilai di seluruh negara digunakan sebagai pemangkin pengkajian dan tesis yang hasilnya boleh menjadi kebanggaan negara.

ANM cawangan Pahang yang terletak di Bandar Indera Mahkota di sini menyimpan 122,518 rekod Negeri Pahang yang ada di antaranya berusia satu abad yang terdiri daripada kategori terperingkat iaitu Rahsia Besar, Rahsia, Sulit dan Terbuka.

Rekod-rekod itu adalah rekod Pejabat Sultan Pahang (1911-1974), Pejabat Istana Sultan (Tengku Arif Bendahara) (1938-1960), Pejabat Menteri Besar Pahang (1950-1981), Pejabat Timbalan Menteri Besar Pahang (1961-1978), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang (1940-1993) dan jabatan dan agensi kerajaan lain. - BERNAMA

Artikel Lain