suria

Wanita China Tidak Boleh Dilarang Ke Sarawak Hanya Berdasarkan Aduan Isteri

KUCHING: Kerajaan negeri Sarawak tidak boleh melarang kemasukan wanita dari China hanya berdasarkan pada aduan daripada isteri lelaki tempatan, kata Menteri dengan Tugas-tugas Khas negeri Tan Sri Adenan Satem.

Beliau berkata Jabatan Imigresen hanya boleh mengambil tindakan jika wanita asing ini, yang dikatakan menimbulkan masalah sosial, menyalahi syarat kemasukan atau disabit kesalahan.

"Saya setuju ada aduan khasnya daripada isteri yang tidak gembira bahawa mereka ke sini atas alasan sebagai penuntut mengggunakan pas pelajar atau sosial," katanya menjawab soalan Chiew Chiu Sing (DAP-Kidurong) di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini Jumaat.

Chiew membangkitkan isu keselamatan berikutan kebimbangan sesetengah ibu bapa bahawa anak-anak mereka mengadu dengan kedatangan wanita ini di dormitari lelaki universiti swasta di Sibu.

Ketika ini pemegang pasport China diberikan pas sosial maksimum 30 hari ketika memasuki Sarawak kecuali mereka memiliki visa sah laku ke negara ini, kata beliau.

Setakat April tahun ini, Adenan berkata Sarawak mencatatkan 11,390 pelawat dari China memasuki negeri ini berbanding dengan keseluruhan 34,388 pada tahun lepas, 38,477 (2009), 37,340 (2008), 24,908 (2007) dan 19,310 (2006).

Beliau berkata sejak lima tahun lepas, 117 wanita dari China ditangkap sementara 115 daripada mereka didakwa kerana pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Imigresen 1963.

Jabatan itu juga terus menjalankan operasi dan pemeriksaan di premis syarikat sebagai sebahagian daripada sistem pemantauan bagi memastikan pas yang diberikan dipatuhi, katanya.

Sementara itu Menteri Muda Pelancongan dan Warisan negeri Datuk Talip Zilpilip berkata kesuntukan masa dan bukan atas pertimbangan politik merupakan alasan untuk membatalkan Festival Kebudayaan Borneo (BCF) tahun ini, dengan kos kira-kira RM800,000 setahun untuk menganjurkannya dengan tajaan daripada kerajaan negeri dan persekutuan, badan korporat dan individu.

"Semua mengetahui untuk mendapatkan pertunjukan yang baik tetapi ia serentak dengan pilihan raya negeri...itulah sebab sebenarnya," katanya ketika menjawab soalan Wong Ho Leng (DAP-Bukit Assek), sambil menambah keputusan itu dibuat setelah berunding dengan kementerian terbabit.- BERNAMA

Artikel Lain