suria

27,902 Isi Rumah Miskin Tegar Di Sarawak

KUCHING: Sejumlah 27,902 Ketua Isi Rumah (KIR) atau 49.8 peratus daripada 55,975 yang didaftarkan di dalam sistem e-Kasih tergolong di bawah kategori kumpulan miskin tegar di negeri ini, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu.

Beliau berkata seramai 55,975 KIR berpendapatan rendah telah didaftarkan di dalam sistem e-Kasih yang termasuk kumpulan mudah miskin membabitkan 23,235 KIR dan keluarga miskin (4,838 KIR), sehingga 11 Jun ini.

KIR mempunyai pendapatan sebanyak RM520 sebulan tergolong di bawah kategori miskin tegar manakala RM830 sebulan dikategorikan miskin, katanya ketika menjawab soalan Violet Yong (DAP-Pending) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini Khamis.

"Daripada 27,902 KIR yang tergolong di bawah miskin tegar, sebanyak 13,349 KIR merupakan Iban, 5,601 (Melayu), 2,925 (Orang Ulu), 2,757 (Bidayuh), 1,974 (Melanau) yang merupakan Bumiputera di negeri ini manakala 647 (Cina) dan 622 KIR lain-lain," katanya

Untuk memastikan keberkesanan sistem e-Kasih, Jabu berkata Jawatankuasa Focus Group Pembasmian Kemiskinan Peringkat Daerah akan bertindak untuk melakukan penyisihan awal kepada senarai permohonan bagi memastikan hanya pemohon yang layak sahaja dibuat pengesahan.

"Ini dapat memastikan proses penyelarasan bancian di peringkat lapangan dapat dipercepatkan," katanya.

Jabu berkata data e-Kasih akan dikemas kini dengan kemasukan data daripada semua agensi pemberi bantuan dan golongan yang masih belum didaftarkan (di luar e-Kasih) untuk memastikan data dan maklumat golongan berpendapatan rendah dicakupi dan komprehensif.

"Sistem ini masih dalam fasa pembangunan dan pelaksanaan dan dijangka siap pada tahun 2012," katanya.

Menjawab soalan Dr Abdul Rahman Junaidi (BN-Pantai Damai), Jabu berkata seramai 18,876 penerima bantuan Program Bantuan Rumah (PBR), termasuk projek bina baru sebanyak 10,847 dan baik pulih rumah sebanyak 8,029, di Sarawak.

Beliau berkata sebanyak 1,877 KIR telah menerima bantuan daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

"Mulai penghujung tahun lepas, bantuan peningkatan pendapatan tertumpu kepada program 1Azam di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Setakat bulan Mei tahun ini, kerajaan negeri telah melaksanakan 3,426 projek 1AZAM melalui pelbagai agensi pelaksana," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain