suria

Subsidi Diesel: Kerajaan Sedia Bincang Dengan Nelayan

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedia berunding dengan pengusaha bot nelayan laut dalam bagi menangani kemelut yang dihadapi kumpulan berkenaan ekoran pengurangan subsidi minyak.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, kerajaan mempertimbangkan untuk memberi insentif tambahan kepada nelayan laut dalam kategori Zon C2 sekiranya mereka mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan.

"Kita sedia membantu pengusaha nelayan laut dalam kalau mereka mematuhi syarat yang kita tetapkan seperti meningkatkan tangkapan ikan melebihi jumlah sedia ada iaitu hanya 20 peratus.

"Selain itu mereka juga perlu memasang sistem pengesan vesel pada bot ikan milik mereka seperti yang sudah ditetapkan sebelum ini bagi memudahkan pihak penguasa mengetahui pergerakan mereka di laut," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Melalui proses penyelarasan subsidi kerajaan, nelayan laut dalam tidak lagi mendapat bekalan minyak pada harga super subsidi iaitu RM1.25 seliter sebaliknya perlu membeli pada harga yang dijual di stesen minyak iaitu RM1.80 seliter.

Bagaimanapun kadar RM1.80 masih merupakan harga subsidi kerana jika mengikut harga industri, minyak dijual RM2.50 seliter.

Baru-baru ini kira-kira 1,000 pengusaha bot nelayan laut dalam di Pahang, Johor dan Perlis melancarkan mogok bagi menggesa kerajaan menimbang pemberian subsidi super diesel kepada mereka.

Mengulas lanjut Noh berkata, langkah kerajaan mengurangkan subsidi kepada nelayan laut dalam adalah selaras dengan langkah kerajaan membela nasib golongan nelayan persisir pantai.

"Kerajaan perlu adil dalam memberi subsidi kerana kumpulan nelayan laut dalam kebanyakannya diusahakan oleh syarikat yang mempunyai ramai pekerja. Mereka mampu meningkatkan jumlah tangkapan.

"Kalau tangkapan mereka tinggi, kerajaan masih memberikan inisiatif tambahan iaitu 10 sen hingga 20 sen bagi setiap kilogram ikan yang didaratkan.

"Berbeza dengan nelayan persisir pantai, mereka hanya menggunakan sampan dengan tangkapan antara 10 hingga 20 kilogram ikan sehari," katanya.

Artikel Lain