suria

Puad Cabar PAS Gugur Perkataan Islam Pada Nama Parti

KUALA PILAH: Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mencabar Pas agar menggugurkan perkataan Islam pada nama parti itu kerana ia "menimbulkan kekeliruan banyak pihak".

Menurut beliau, bukan saja bukan Melayu tidak faham atau keliru tetapi Pas turut mengelirukan umat Islam sendiri, bila ia mempolitikkan akidah dan ini cukup bahaya.

"Jadi, kalau parti itu sudah sanggup dibuli oleh DAP sehinggakan akhirnya Pas boleh menggugurkan perjuangan negara Islamnya, maka kalau begitu saya cabar Pas supaya gugurkan sahaja perkataan Islam daripada nama parti itu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kuala Pilah di sini, Ahad.

Timbalan Menteri Pelajaran itu berkata Pas bertindak beralih kepada konsep negara berkebajikan sebab ia sudah tidak ada istilah lain untuk digunakan.

Sebaliknya, kata beliau, Umno sudah lama memperjuangkan kebajikan rakyat negara ini dan ia sudah cukup terbukti berdasarkan trek rekodnya.

Sementara itu, Mohd Fuad berkata, kekuatan Umno hanya boleh dilemahkan apabila semangat dan perjuangannya semakin pudar.

"Dan inilah sebenarnya yang menjadi kunci kekuatan kenapa Umno tidak boleh dimatikan selama ini. Umno boleh mengubah dasar, hala tuju dan juga cita-citanya, tetapi ia akan menjadi berbahaya sekiranya semangat dan perjuangannya luntur.

"Walaupun Umno dari segi sejarah pernah berlaku ditinggalkan, penyingkiran, reformasi jalanan, pengharaman dan sebagainya, tetapi Umno tidak mati sebab semangat dan perjuangannya tetap ada dan utuh.

"Ini tidak boleh dipandang ringan oleh kita semua dan memanglah DAP tahu ini kekuatan kita sebab itu setelah dia berjaya memastikan Pas menolak kerajaan perpaduan antara Pas dan Umno, dia sekarang ini nak pecahkan lagi 'divide and rule' seperti mana yang dibuat dalam pemilihan jawatankuasa masjid di Pulau Pinang," katanya.

Di KAMPUNG GAJAH, Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata konsep negara berkebajikan yang dilaungkan PAS tidak akan mencapai matlamat sekiranya negara tidak membangun secara progresif.

Katanya, matlamat negara berkebajikan perlu berjalan seiring dengan pembangunan negara yang mampu menjana ekonomi rakyat dan memberi peluang pekerjaan.

Beliau berkata negara kebajikan yang diuar-uarkan oleh PAS sebenarnya telah lama diamalkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) bukan saja untuk orang Melayu tetapi untuk semua kaum di negara ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu bercakap kepada pemberita selepas merasmikan sidang perwakilan Umno Bahagian Pasir Salak hari ini.

"Jika dibandingkan dengan kebajikan yang dilaksanakan oleh BN, jauh lebih banyak dari apa yang dilaksanakan di Kelantan (di bawah PAS)," katanya.

Beliau berkata Malaysia bakal membangun sebagai negara perindustrian menjelang 2020 di mana lebih banyak program kebajikan dilaksanakan sekaligus mengurangkan kadar kemiskinan di luar bandar. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain