suria

Muktamar Tahunan PAS: Saya Tidak Akan Tarik Diri - Nasharudin

SHAH ALAM: Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa menegaskan beliau akan terus bertanding pada pemilihan parti itu esok bagi mempertahankan jawatannya dan sekaligus menafikan khabar angin beliau akan menarik diri.

Beliau juga menolak dakwaan wujudnya usaha untuk memujuknya agar berundur bagi bagi memberi laluan kepada calon lain.

"Saya akan terus bertanding dan tidak tarik diri.

"Malah saya juga tidak fikir bahawa wujud usaha untuk meminta saya menarik diri... tapi saya sedar bahawa ada spekulasi yang tersebar bahawa saya akan tarik diri," katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat ke-52 di sini, malam Rabu.

Nasharudin mengulas mengenai spekulasi yang tersebar awal minggu ini bahawa beliau akan menarik diri bertanding jawatan nombor dua parti itu bagi memberi laluan kepada seorang lagi calon, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ahli Parlimen Bachok itu dikatakan sukar mempertahankan jawatan yang dimenanginya sejak 2005 dan desas desus agar beliau menarik diri bertujuan mengelakkan berlakunya perpecahan undi antara beliau dan Tuan Ibrahim yang berlatar belakangkan kepimpinan ulama.

Menerusi saingan bagi jawatan itu esok, Nasharudin dan Tuan Ibrahim berhadapan dengan saingan tiga penjuru dengan seorang lagi calon dari kumpulan profesional, Mohamad Sabu.

Sementara itu dalam ucapan perasmiannya, Nasharudin mengingatkan Pemuda PAS agar bersiap sedia menyediakan calon yang mantap dan berwibawa agar mudah diterima rakyat.

"Jika kita menerima pentas politik sebagai sebahagian daripada medan dakwah kita secara serius, maka kita juga kena serius menyediakan bakal-bakal calon pilihan raya berpotensi tinggi hatta dihormati musuh politik kita sekalipun," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain