suria

86 Pelajar Cemerlang SPM Ditempatkan Di IPTS

KUALA LUMPUR: Kabinet membuat keputusan 86 pelajar yang gagal memperoleh biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pengajian ke luar negara ditawarkan kursus ijazah pertama pilihan mereka di pusat pengajian tinggi swasta.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, ini termasuk mereka yang mengikuti program berkembar yang memerlukan pelajar mengikuti kelas permulaan di universiti tempatan sebelum melengkapkan pengajian di IPT luar.

"Pengajian termasuk secara berkembar melibatkan kursus perubatan, kejuruteraan, perakaunan dan bioteknologi," katanya kepada pemberita di Parlimen di sini, Rabu.

Katanya, kerajaan membelanjakan sebanyak RM26.1juta untuk tujuan itu.

Sebelum ini Nazri berkata, Jemaah Menteri akan membincangkan isu mengenai pemberian biasiswa JPA itu dalam mesyuaratnya pada Rabu, termasuk mengenai rayuan supaya kira-kira 86 pelajar cemerlang 9A+ diberi tempat untuk melanjutkan pengajian di luar negara.

Rayuan itu katanya, merupaka tambahan kepada 1,500 biasiswa luar negara yang diberikan setiap tahun.

Dalam perkembangan lain, Nazri berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkannya bertemu dengan pemimpin parti komponen Barisan Nasional untuk menyenaraikan nama pelajar yang memperoleh kurang dari 8A+ yang akan menerima 500 biasiswa daripada Lembaga Pembangunan 1Malaysia untuk melanjutkan pelajaran di dalam negara.

Katanya, Kabinet juga akan mengkaji semula kaedah pemberian biasiswa oleh JPA.

Mereka yang memperoleh 8A+ dan 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ditawarkan melanjutkan pengajian peringkat diploma akan ditempatkan ke program matrikulasi sebelum ijazah pertama.

Artikel Lain