suria

Tiga Rakyat Malaysia Kumpulan Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza Selamat Pulang

KUALA LUMPUR: Tiga daripada enam rakyat Malaysia yang menaiki kapal MV Finch untuk menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Rabu.

Wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Mohd Faizal Hassan, wartawan akhbar New Straits Times Iskandar Alang Bendahara dan petugas sukarela dari Pejabat Seranta (Felda) Jabatan Perdana Menteri Mohd Radzillah Abdullah, tiba pada pukul 2.50 petang dengan menaiki penerbangan Gulf Air dari Mesir.

Kepulangan mereka disambut oleh Penasihat Yayasan Keamanan Global Perdana Malaysia (PGPF) Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Pengerusi PGPF Tan Sri Norian Mai.

Ketiga-tiga mereka merupakan antara 12 penumpang kapal MV Finch yang bertolak dari Malaysia pada 3 Mei lepas untuk menghantar paip PVC sepanjang 7.5 kilometer untuk membantu memulihkan sistem pembetungan yang musnah di Gaza.

Bagaimanapun ketibaan kapal kargo Malaysia itu di Palestin pada 16 Mei lepas menghadapi sekatan oleh tentera Israel apabila dua bot tentera laut Israel menghalang perjalanan mereka.

Malah tentera Israel itu turut melepaskan tembakan amaran di perairan berhampiran Rafah, namun pasukan Tentera Laut Mesir telah membantu dengan mengiringi mereka keluar dari perairan itu dan mengarahkan kapal berkenaan belayar ke perairan Mesir.

Kapal MV Finch masih tersadai di luar pelabuhan El-Arish di Mesir dan sehingga semalam masih belum dibenarkan berlabuh oleh Kerajaan Mesir.

Kapal itu dikemudi rakyat Malaysia, Kapten Abdul Jalil Mansor yang dibantu empat krew iaitu Zainuddin Mohamad dan Mohd Jaffery Ariffin, kedua-duanya warga Malaysia, serta dua warga India iaitu Sharma Chandan Shimla dan Pal Satya Prakash.

Tiga aktivis kemanusiaan luar negara turut menyertai misi berkenaan iaitu Derek Graham dan Jenny Graham dari Ireland serta Julie Levesque dari Kanada.

Selain kumpulan ini, PGPF turut menghantar satu lagi kumpulan misi kemanusian melalui jalan darat yang turut dianggotai oleh wartawan Berita Harian Syed Azwan Syed Ali dan wartawan TV3 Ahmad Azizi Adnan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain