suria

Bekas Ketua Wanita PKR Ambil Tindakan Undang-undang Terhadap Harakah

GEORGE TOWN: Bekas ketua wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri, Aminah Abdullah akan mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar Harakah jika tidak menghentikan dan menarik balik sebarang bentuk kenyataan fitnah, kecaman serta tuduhan yang didakwa bertujuan menjatuhkan maruahnya.

Aminah berkata, satu notis tuntutan itu telah dihantar oleh peguamnya dari Tetuan Ambar & Azah pada Isnin lepas yang memberi tempoh sehingga 7 Jun ini kepada akhbar itu untuk memohon maaf secara rasmi menerusi hebahan media.

Selain akhbar berkenaan, lima individu turut diberi notis tuntutan itu ialah wartawan akhbar Harakah Mohd Sabri Said dan Ketua Pengarang akhbar itu, Ketua Wanita PKR negeri Norhayati Jaafar, Timbalan Ketua Cabang PKR Bukit Mertajam Jab Samat dan Setiausaha PKR Cabang Jelutong Anuar Kamarudin.

Sementara itu, peguam Saiful Ambar Abdullah Ambar berkata, notis tuntutan itu adalah disebabkan anak guamnya telah difitnah dalam artikel bertajuk "Kenyataan Aminah Bertentangan Syariat".

"Kenyataan yang dikeluarkan akhbar berkenaan edisi 20-22 Mei di Galeri Pejuang Cheruk Tok Kun itu menuduh Aminah menyuruh Presiden Parti Keadilan Rakyat Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk meninggalkan dan berpisah dengan suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim", kata beliau.

Katanya, dalam artikel itu juga, Aminah telah difitnah dengan tuduhan kononnya menerima umpan kebendaan daripada Umno.

Aminah telah membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Patani di sini pada 23 Mei lepas.

Saiful Ambar berkata, jika pihak akhbar Harakah dan kesemua lima individu terlibat tidak membuat permohonan maaf secara rasmi, anak guamnya akan mengambil tindakan saman fitnah sebagai tindakan susulan. - BERNAMA

Artikel Lain