suria

Membaca 20 Buku Setahun Sasaran Untuk Rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan agar rakyat negara ini membaca sekurang-kurangnya 20 buku setahun.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz berkata pada masa kini secara purata rakyat Malaysia membaca lapan hingga 12 buah buku setahun, dan untuk membudayakan tabiat membaca dalam kalangan masyarakat, kerajaan akan menambah bilangan perpustakaan awam terutamanya di luar bandar.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Buku ReadMalaysia di Seri Kembangan dekat sini hari ini, beliau berkata kerajaan sentiasa menyokong usaha Perpustakaan Negara dan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menyediakan pelbagai jenis bacaan berkualiti untuk memupuk minat membaca.

"Dalam kereta api mahupun pengangkutan awam lain, kalau boleh disediakan bahan bacaan, ini kita akan lakukan secara berperingkat dalam membudayakan minat membaca di kalangan masyarakat. Orang yang membaca ialah orang berjaya," kata D'Cruz.

Beliau berkata amalan membaca juga secara tidak langsung dapat mengurangkan masalah sosial seperti melepak, merempit dan jenayah.

Pameran Buku ReadMalaysia 2011 berlangsung di MIECC selama 10 hari dari 11 pagi hingga 10 malam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain