suria

9 Didakwa Edar Dadah Lebih RM10 Juta

GEORGE TOWN: Tujuh lelaki dan dua wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini terhadap pertuduhan berasingan mengedar dan memiliki dadah bernilai lebih RM10 juta, kira-kira dua minggu lepas.

Bagi kes pertama, Tan Beng Tatt, Ooi Kean Wah, Koay Heng Chong, Fiteli Mohamat Saadin, Lisa Md Kassim, dan Mastura Mohd Fudzi, dituduh mengedar 2,015 gram methamphetamine di Blok 77-23A-5 Penang Times Square, Jalan Datuk Keramat di sini, pada 7.30 malam, 12 Mei lepas.

Beng Tatt, 48, dari Jalan C.Y Choy di sini, Kean Wah, 42, dari Kampung Medan Taman Pelangi, Johor Baharu, Heng Chong, 27, dari Taman Kheng Tian di sini, Fiteli, 40, dari Kampung Talang Tanjung Belanja, Perak, Lisa, 28, dari Desa Bistari Pantai Jerjak Gelugor dan Mastura, 20, dari Jalan Sungai Pinang, juga dituduh mengedar 15,261 gram heroin di tempat dan pada masa dan hari yang sama.

Beng Tatt dan Kean Wah juga menghadapi tiga lagi pertuduhan itu mengedar 18,071 gram methamphetamine, mengedar 54,539 gram cecair methamphetamine dan mengedar 9,817 gram ketamine pada 9.20 malam di tempat dan pada hari yang sama.

Kean Wah juga menghadapi satu lagi pertuduhan itu bersama-sama Tan Choo Seng, 35, dari Lebuh Tye Sin di sini, mengedar 4,855 gram heroin di Taman Lembah Sungai, Jalan S.P. Chelliah di sini, pada 10.30 malam pada hari yang sama.

Dalam kes kedua, Keong Gim Chye, 51, dari Lebuhraya Thean Teik, Ayer Itam dan Ng Chun Haw, 31, dari Paya Terubong Ayer Itam dituduh mengedar 32,387 gram heroin di Lengkok Lumba Kuda Air Itam di sini, pada 7.45 malam, 12 Mei lepas.

Kedua-dua mereka turut menghadapi dua lagi pertuduhan iaitu mengedar 965 gram amphetamine dan mengedar 18 gram methamphetamine di tempat dan pada masa dan hari yang sama.

Kesemua mereka hanya tunduk dan mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Aini Yusof dan tiada pengakuan dicatatkan daripada kesemua tertuduh.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain