suria

Benteng Di Sungai Penchala Runtuh, Penduduk Dihantui Rasa Bimbang

Penduduk Pangsapuri Damansara Bistari melihat benteng sungai yang runtuh sejak lebih sebulan lalu yang terlalu hampir dengan Kondominium Ken III di Petaling Jaya malam Selasa. - Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Belumpun reda tragedi tanah runtuh di Hulu Langat, Kajang, pada Sabtu lepas yang mengorbankan 16 nyawa, penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Penchala di sini pula dihantui rasa bimbang apabila tebing sungai itu runtuh kali kedua dalam tempoh sebulan.

Justeru, penduduk Pangsapuri Damansara Bistari lima tingkat yang terletak berhampiran sungai itu serta penduduk lain sekitarnya meminta pihak berwajib supaya segera mengambil tindakan terhadap benteng sungai yang runtuh petang Selasa bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Seorang penduduk pangsapuri, Rosli Yusof, 47, berkata pada mulanya kejadian runtuh pada benteng berlaku sebulan yang lepas namun tiada sebarang tindakan diambil walaupun ia sudah dimaklumkan kepada pihak berwajib.

"Namun kira-kira pukul 5 petang tadi, saya terdengar bunyi letupan dan didapati sebelah lagi benteng tersebut telah runtuh," katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian.

Rosli percaya punca kejadian tersebut adalah kerana struktur kawasan tanah yang rendah di samping limpahan air sungai yang menyerap ke dalam tanah sehingga menyebabkan tanah menjadi lembap.

"Saya berharap pihak berwajib datang dan mengambil tindakan segera... jangan sehingga ada yang menjadi mangsa baru hendak ambil tindakan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Yang Cher, 20, berkata beliau dan keluarganya yang tinggal di tingkat 22 sebuah kondominium 24 tingkat yang terletak berhampiran, berhasrat untuk berpindah jika tiada sebarang tindakan diambil. - BERNAMA

Artikel Lain