suria

Bekas Pengurus Bebas Tuduhan Pecah Amanah RM29,600

KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengurus MBF Cards and Travel Network Sdn Bhd (MBF) dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan nilai RM29,600, sedekad lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Rozana Ali Yusoff membuat keputusan itu pada Selasa, selepas mendapati pembelaan yang diberikan oleh Yeo Choong Yong, 51, berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.

"Oleh itu, mahkamah mendapati kamu tidak bersalah seperti pertuduhan," kata Rozana yang telah mendengar keterangan lapan saksi termasuk keterangan Yeo semasa membela diri.

Yeo yang memakai jaket bewarna kuning dan berseluar hitam dilihat tersenyum menerima keputusan tersebut.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut terhadap dana syarikat yang terletak di tingkat 38, Plaza MBF, nombor 8, Jalan Yap Kwan seng, Dang Wangi, dekat sini antara 3 Julai 2000 dan 29 Jun 2001.

Yeo didakwa di mahkamah untuk kali pertama pada 6 Mei 2010 dan perbicaraan bermula pada Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Yeo yang kini bekerja sebagai eksekutif jualan di sebuah hotel diwakili oleh peguam Suraj Singh manakala peguam Harjinder Singh Sadhu hadir sebagai peguam pemerhati kepada MBF.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kassim hadir mewakili pihak pendakwaan.

Artikel Lain