suria

12 Majlis Bandaraya Selaraskan Kadar Baru Kompaun Bagi Kesalahan Lalu Lintas

PUTRAJAYA: Dua belas Majlis Bandaraya kini menyelaraskan kadar baru kompaun kesalahan lalu lintas dan fi untuk tindakan mengapit, mengalih dan menyita kenderaan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Wira Chor Heung berkata berikutan penyelarasan itu, kompaun berganda akan dikenakan terhadap pemandu yang melakukan kesalahan secara berulang.

Beliau berkata kadar maksimum RM300 dikenakan untuk kesalahan berat yang menyumbang kepada kemalangan dan kesesakan, dan ia tidak akan dikurangkan walaupun pemandu menjelaskan kompaun lebih awal.

"Dengan ini, semua 12 Majlis Bandaraya akan mengenakan kadar kompaun yang serupa bagi kesalahan sama.

"Kerajaan ingin memastikan bahawa semua kompaun ini tidak membebankan, dan bagi setiap kesalahan, kompaun yang dikenakan tidak melebihi RM300," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan ke-64 hari ini, yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebelum ini, kabinet meluluskan penyelarasan kadar kompaun dan penyusunan semula kategori kesalahan lalu lintas yang dikeluarkan polis, Jabatan Pangangkutan Jalan dan pihak berkuasa tempatan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2010), berkuat kuasa 1 Mac lepas.

"Kita harap dengan kaedah ini, sesiapa yang dikenakan saman, dengan secepat mungkin membuat pembayaran...kalau lebih lambat, lebih banyak kita kena bayar," katanya.

Chor berkata mesyuarat pada Isnin juga meluluskan cadangan penambahbaikan proses permohonan lesen bagi premis perniagaan yang membolehkan ia dikeluarkan dengan segera oleh pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata kerajaan bersetuju dengan cadangan garis panduan perancangan reka bentuk sejagat dan kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan perlu memastikan ia dipatuhi semua pemaju semasa memohon Kebenaran Merancang dan Pelan Bangunan.

Selain itu, katanya, kerajaan mewajibkan pemasangan Sistem Pengumpulan Air Hujan yang boleh mengurangkan permintaan air terawat kepada 75 peratus di banglo, bangunan berkembar dan semua kategori bangunan berasingan seperti bangunan kerajaan, institusi, komersial serta industri.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain