suria

Bukan Semua Penghuni Hidayah Madrasah At Taqwa Anak Yatim

PEKAN: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata bukan semua penghuni Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At Taqwa di Hulu Langat, lokasi kejadian tanah runtuh semalam yang meragut 16 nyawa, adalah anak yatim.

Katanya berdasarkan lawatannya ke lokasi kejadian runtuhan itu semalam, beliau mendapati rumah itu turut beroperasi sebagai tempat pengajian tahfiz dan kem motivasi.

Siasatan awal kementerian mendapati pusat berkenaan tidak berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Wanita Umno Bahagian Pekan di sini, Ahad.

Sehubungan itu, Shahrizat berkata beliau telah meminta kementerian dan agensi terlibat seperti Kementerian Pelajaran, JKM, dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melakukan siasatan segera untuk mengetahui status rumah terbabit dan kebajikan penghuni-penghuninya.

"Pihak tertentu mesti buat siasatan berhubung rumah itu sebab budak tahfiz dan anak yatim tinggal di situ, kem motivasi pun di situ, jadi kita tidak tahu asal-usul kediaman itu," katanya sambil menyampaikan takziah daripada Wanita Umno kepada waris mangsa yang terkorban dalam bencana alam itu.

Beliau berkata daripada 47 penghuni yang terlibat dengan bencana yang berlaku pada pukul 2.30 petang Sabtu itu, 27 daripada mereka ditempatkan di pusat pemindahan sementara JKM di mana keluarga atau waris boleh menemui mereka di situ.

Shahrizat berkata sekiranya mana-mana penghuni terbabit disahkan sebagai anak yatim, pihak kementerian akan mengambil tindakan yang sesuai bagi memastikan kebajikan mereka terjaga.-BERNAMA

Artikel Lain