suria

Bukit Kerinchi Bakal Dibangun Sebagai Taman Rekreasi

KUALA LUMPUR: Kawasan Bukit Kerinchi seluas 41.28 hektar yang terletak berhampiran Pantai Dalam di sini akan dibangunkan sebagai taman rekreasi sepenuhnya melibatkan kos RM20 juta daripada kerajaan pusat.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan proses pembangunan di kawasan berkenaan yang melibatkan tiga fasa.

Pembangunan kawasan tersebut, yang merupakan sebahagian daripada kawasan hutan yang terletak bersebelahan dengan Bukit Gasing di Petaling Jaya, sebagai kawasan rekreasi termasuklah 17 ekar (6.8 hektar) tanah yang diserahkan pemaju kepada DBKL pada tahun lepas, katanya.

"Kita jangkakan fasa pertama akan bermula tidak lama lagi dan dijangka dapat disiapkan antara tiga hingga enam bulan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan Jumaat.

Raja Nong Chik berkata program pembangunan di kawasan berkenaan yang dijangka siap pada 2016 akan memberikan manfaat kepada kira-kira 200,000 hingga 300,000 penduduk di sekitar Lembah Pantai.

"Sebelum ini mereka (penduduk Lembah Pantai) terpaksa pergi ke tempat jauh seperti Taman Tasik Perdana (untuk beriadah). Dengan adanya kawasan ini, maka mereka tidak lagi perlu pergi ke tempat yang jauh untuk melakukan aktiviti riadah," katanya.

Fasa pertama program pembangunan di kawasan berkenaan yang merupakan sebahagian daripada pelan Greater KL itu meliputi kerja-kerja pembersihan, kerja-kerja pemasangan elektrik dan lampu, pembinaan tempat letak kereta, laluan pejalan kaki, sistem perparitan serta kemudahan untuk Orang Kelainan Upaya (OKU).

Fasa kedua dan ketiga program pembangunan di kawasan berkenaan termasuklah pembinaan pejabat pengurusan, perabot taman, jambatan kayu papan tanda arah selain memperlengkapkan kawasan berkenaan dengan landskap lembut dan laluan-laluan menarik, katanya.

Ditanya mengenai pembangunan untuk projek perumahan di kawasan berkenaan, Raja Nong Chik berkata kawasan berkenaan akan dikekalkan sebagai kawasan kehijauan untuk aktiviti rekreasi sahaja.

"Kita telah mendapat kelulusan daripada Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan pada September lepas supaya kawasan ini digazetkan sebagai kawasan hijau.(Oleh itu), tiada pembangunan akan dilaksanakan di kawasan berkenaan, jangan risau," katanya.

Beliau menambah tender untuk kerja-kerja landskap di kawasan berkenaan telah dibuka kepada syarikat awam serta swasta dari 4 Mei hingga 27 Mei ini.

"Selepas tarikh itu, kita akan pilih kontraktor yang sesuai untuk menjalankan kerja-kerja landskap," katanya.- BERNAMA

Artikel Lain