suria

AMK Batal Demontrasi Di Ibu Pejabat Utusan

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang dijadual mengadakan demonstrasi bantahan menolak fitnah di hadapan Ibu Pejabat Utusan Melayu (M) Berhad dekat sini pada Jumaat membatalkan rancangan tersebut awal pagi ini.

Timbalan Ketua AMK, Khairul Anuar Ahmad Zainuddin berkata, demonstrasi tersebut dibatalkan setelah Angkatan Pemuda memutuskan untuk memberi tumpuan kepada isu lain yang lebih penting berbanding 'menyerang Utusan Malaysia'.

"Kita fikir banyak lagi perkara lain yang lebih penting... kita tak akan berkumpul di pejabat Utusan hari ini seperti yang dirancangkan," katanya kepada mStar Online di sini, Jumaat.

Sebelum ini AMK telah menghebohkan rancangan mereka untuk mengadakan demonstrasi dan menyerahkan memorandum bantahan kepada Ketua Pengarang Utusan Malaysia walaupun Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) dijadual turut mahu mengadakan himpunan di tempat yang sama bagi mempertahankan akhbar berkenaan.

Malah AMK sebelum ini turut merancang untuk mengedarkan akhbar Suara Keadilan kepada kesemua kakitangan Utusan Malaysia sebagai simbolik bantahan.

Selain Perkasa, Pemuda Umno Selangor dan Wilayah turut akan berhimpun di hadapan pejabat Utusan Melayu selepas solat Jumaat bagi menyatakan sokongan terhadap akhbar tersebut.

Bagaimanapun Khairul Anuar berkata, AMK akan menyertai perarakan bagi membantah projek Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) pada pukul 2 petang Jumaat dari KLCC hingga ke Kedutaan Australia.

Perarakan tersebut akan turut disertai wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), termasuk kumpulan pencinta alam yang akan menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Tinggi Australia.

Artikel Lain