suria

Akta Persaingan Pastikan Pengguna Terbela - Muhyiddin

KANGAR: Kegiatan berpakat untuk menaikkan harga barang atau mengurangkan bekalan, monopoli dan perlakuan perdagangan tidak adil akan ditangani dengan lebih berkesan apabila Akta Persaingan 2010 dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2012, kata Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang dibentuk melalui akta itu akan bertanggungjawab menangani perkara-perkara itu demi kepentingan rakyat.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri program Jalinan Mesra Rakyat di sini hari ini, Muhyiddin berkata, suruhanjaya itu berkuasa untuk memanggil kelompok peniaga yang didapati melakukan perbuatan yang merugikan orang ramai.

Katanya kerajaan tidak mahu rakyat terbeban dengan kenaikan harga barang yang sepatutnya boleh dikawal dan kerajaan juga berbelanja besar untuk subsidi harga barang yang membabitkan kos lebih RM20 bilion.

Muhyiddin berkata, kerajaan terpaksa melaksanakan rasioanalisasi termasuk mengurangkan subsidi diesel bot laut dalam mulai 1 Jun ini.

Katanya mulai Jun pengusaha bot nelayan perlu membeli harga diesel RM1.80 seliter berbanding RM1.25 pada masa ini.

"Syarikat besar yang ada banyak bot laut dalam sudah pasti mendapat hasil besar dan tak wajar mendapat subsidi sama seperti nelayan lain," katanya sambil menjelaskan bahawa hasil penjimatan itu boleh disalurkan kepada sektor-sektor lain.

Muhyiddin berkata beliau juga akan mencadangkan wang bernilai satu sen digunakan semula supaya pengguna dapat melakukan pembayaran harga barang dan perkhidmatan dengan kos yang tepat.

Katanya, beliau akan berbincang dengan Bank Negara Malaysia bagi melaksanakan perkara itu demi menjaga kepentingan pengguna. Mengenai masalah banjir di Perlis, Muhyiddin berkata, beliau telah mendengar taklimat daripada Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berhubung perkara itu.

Katanya kerajaan berhasrat untuk menyelesaikan masalah itu secara beransur-ansur kerana ia membabitkan kos yang besar namun sebagai permulaan sebanyak RM18 juta diperuntukkan bagi kerja membaiki saliran di Empangan Timah Tasoh dekat sini bagi mengawal banjir.

Sebelum itu semasa berucap pada majlis yang berlangsung di Dewan 2020 itu, Timbalan Perdaan Menteri berharap rakyat sentiasa mengutamakan semangat perpaduan dan tidak mempertikaikan perlembagaan negara sehingga menjadi isu perdebatan dan merungkai perpaduan rakyat.

Turut hadir di majlis itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain