suria

Bicara Saman Fitnah Syabas-Tony Pua 20 Jun

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua Kiam Wee pada Khamis, menarik semula permohonan beliau untuk mengenepikan saman yang difailkan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) terhadap dirinya.

Peguam Ang Hean Leng yang mewakili Tony berkata, keputusan untuk menarik semula permohonan itu dibuat selepas kedua-dua pihak bersetuju bahawa kes tersebut boleh dibicarakan.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Amelia Tee Hong Geok Abdullah menetapkan 20 Jun depan sebagai tarikh pengurusan kes saman berkenaan.

Syabas memfailkan saman terhadap Tony pada 28 Januari lalu kerana mendakwa Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP tersebut telah mengeluarkan kenyataan berbentuk fitnah yang disiarkan di sebuah akhbar berbahasa Cina.

Selaku plaintif, Syabas mendakwa kenyataan berbentuk fitnah itu disiarkan pada 16 November 2010 di bawah artikel bertajuk 'Tony Pua: Kerajaan Negeri Perlu Kawal Hak Pengurusan Air Bagi Memastikan Tarif Air Tidak Mengalami Kenaikan'.

Seterusnya Syabas mendakwa, Tony enggan meminta maaf dan menarik semula perkataan yang didakwa memfitnah tersebut walaupun telah dituntut untuk berbuat demikian.

Dakwa Syabas lagi, penerbitan kenyataan tersebut telah memperkecil-kecilkan reputasi perniagaan mereka dan menyebabkan cemuhan awam yang membawa kerugian dan kerosakkan kepada perniagaannya.

Justeru itu, Syabas selaku plaintif menuntut ganti rugi am, faedah pada kadar lapan peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga tarikh pembayaran penuh, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Syabas juga menuntut perintah injunksi bagi menghalang Tony dan ejennya daripada menerbitkan kenyataan berbentuk fitnah tersebut.

Pada penyataan pembelaannya, Tony mendakwa, tuntutan tersebut adalah tidak wajar dan tidak mempunyai asas selain remeh, menyusahkan dan merupakan pencabulan proses mahkamah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain