suria

Undang-Undang Persekutuan Yang Diwarta Boleh Diakses di Portal e-Warta

PUTRAJAYA: Orang ramai kini boleh mengakses dan memuat turun undang-undang persekutuan yang sudah diwartakan menerusi e-Warta Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata menerusi portal www.federalgazette.agc.gov.my itu, semua undang-undang persekutuan boleh diakses secara mudah dan percuma sebaik sahaja diwartakan tanpa perlu menunggu akta terbabit dicetak.

"Saya difahamkan Jabatan Peguam Negara telah mengguna pakai segala sumber dalaman yang ada untuk membangunkan sistem itu sendiri," katanya semasa melancarkan portal itu, di sini, Selasa.

Beliau yakin langkah yang diambil jabatan itu akan meningkatkan prestasi sistem penyampaiannya selain memberi manfaat kepada masyarakat dan pengamala undang-undang.

Sementara itu, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam ucapannya berkata portal tersebut terhasil daripada cabaran yang dilontar Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan pada November lepas yang mahu jabatan berkenaan membangunkan sistem perwartaan atas talian tanpa membabitkan pihak ketiga. Selepas membuat kajian, beliau berkata jabatan itu mendapati ia berupaya daripada segi undang-undang serta teknikal untuk melaksanakannya dan seterusnya mengambil alih perwartaan atas talian daripada Percetakan Nasional Malaysia Berhad.

Katanya fasa pertama e-Warta meliputi pewartaan perundangan subsidiari yang akan dilaksanakan bermula hari ini, dan diikuti dengan fasa kedua yang merangkumi semua perundangan utama Persekutuan yang akan dilaksanakan bagi akta yang diluluskan di Parlimen tahun ini.

Abdul Gani berkata jabatan itu juga berhasrat menjadikan portal e-Warta Persekutuan sebagai pangkalan data tunggal bagi semua undang-undang Persekutuan.

Setakat ini sebanyak RM3,950 diperuntukkan untuk kos pembelian lesen perisian Nitro PDF bagi membangunkan portal itu dan selainnya hanya menggunakan perkakasan sedia ada, kata beliau.

"Bagi menampung kapasiti portal e-Warta yang akan bertambah dengan penggunaan giat e-Warta Persekutuan selepas ia dilancarkan, jabatan ini dalam proses untuk membuat perolehan bagi perkakasan yang diperlukan seperti server, penstoran data, scanner dan sebagainya," katanya.

Pada sidang akhbar kemudiannya Abdul Gani berkata para pegawainya akan sentiasa memantau portal itu bagi memastikan ciri-ciri keselamatannya terjamin.

"Ia dalam bentuk format PDF format. Jadi kalau nak ubah apa-apa pun susah. Orang kita ada memantau sistem itu sepanjang masa. Jadi kita tidak bimbang sangatlah. Kalau orang ubah pun kita (boleh) ubah balik," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain