suria

Saman Umi Hafilda RM100 Juta Terhadap Baginda Minda, MalaysiaKini Dibatalkan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, membatalkan saman fitnah RM100 juta yang difailkan oleh saksi utama kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998, Umi Hafilda Ali terhadap Baginda Minda dan pemilik portal berita, MalaysiaKini.

Baginda Minda atau nama sebenarnya, Nor Azman Abdullah merupakan bekas rakan perniagaan Umi Hafilda.

Keputusan untuk membatalkan saman tersebut dibuat oleh Hakim Datin Zabariah Mohd Yusof di dalam kamarnya, ekoran peguam yang mewakili pihak-pihak tidak menghadiri prosiding sebutan yang dijadualkan hari ini.

Umi Hafilda memfailkan saman tersebut pada 17 Mac lalu menerusi Tetuan Sahrihan & Hamdan dengan menamakan Nor Azman dan MKini Dotcom Sdn Bhd sebagai defendan-defendan kerana mendakwa telah memfitnahnya.

Adik kepada Timbalan Presiden Pari Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali itu mendakwa Nor Azman telah mengeluarkan kenyataan berbentuk fitnah secara sindiran pada sidang media yang dihadiri oleh sekumpulan wartawan di lobi Parlimen pada 15 Mac lalu.

Dakwanya lagi, defendan kedua telah menerbitkan kenyataan tersebut pada hari yang sama dalam bahasa Malaysia pada pukul 2.31 petang manakala versi bahasa Inggeris diterbitkan pada pukul 3.04 petang.

Artikel tersebut didakwa ditulis oleh wartawan Hazlan Zakaria dan bertajuk ‘Baginda pula jelajah ‘bongkar’ Ummi Hafilda’ dan 'Ummi’s sex-partner threatens to ‘tells all’.

Umi Hafilda mendakwa, kenyataan tersebut membawa maksud bahawa dirinya seorang ahli perniagaan yang terdesak, wanita tidak bermoral dan mempunyai banyak skandal dan tidak jujur.

Seterusnya, Umi Hafilda juga mendakwa penerbitan artikel tersebut telah menjejaskan reputasinya sebagai seorang individu berprofil tinggi dan sangat dikenali serta memegang pelbagai jawatan perniagaan dan sosial di Malaysia.

Justeru itu, beliau memfailkan saman tersebut bagi menuntut ganti rugi teruk dan ganti rugi tafsir yang akan ditaksirkan kemudian, faedah pada jumlah lapan peratus, kos dan lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Umi Hafilda yang mendakwa dirinya seorang yang berani untuk bercakap benar apabila mendedahkan salah laku Anwar yang semasa itu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri juga memohon perintah injunksi untuk melarang kedua-dua defedan daripada menerbikan kenyataan fitnah tersebut.

Artikel Lain