suria

Program 'Sekata' Atasi Kesan Negatif Media Sosial Ke Atas Keluarga - Shahrizat

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan melaksanakan program "SEKATA: Keselamatan Keluarga Tanggungjawab Kita" dalam menangani kesan negatif media sosial ke atas institusi keluarga.

Menterinya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata program itu akan dilaksana Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga (LPPKN) dengan kerjasama 150 pertubuhan bukan kerajaan.

"Dalam konteks perkahwinan dan keluarga, keasyikan melayari laman sosial berupaya memberikan implikasi yang kurang sihat bagi kesejahteraan keluarga.

"Ini berlaku apabila interaksi keluarga, masa, rekreasi, intimasi dan ikatan kekeluargaan diganti dengan aktiviti siber. Lama-kelamaan perkara ini akan mengganggu seluruh sistem dan fungsi keluarga tersebut," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Mujahid Yusof Rawa (PAS-Parit Buntar) yang ingin tahu usaha kementerian dalam menyedarkan orang ramai mengenai kesan teknologi jaringan sosial ke atas insitusi kekeluargaan.

Shahrizat berkata program 'SEKATA" itu adalah antara beberapa langkah yang akan dilaksana LPPKN sepanjang tahun ini.

Program lain ialah pendidikan kekeluargaan bagi memberi kesedaran kepada anggota keluarga dan pasangan suami isteri mengenai implikasi salah guna jaringan sosial serta perkhidmatan kaunseling kepada individu dan pasangan yang menghadapi masalah terutama berkaitan penyalahgunaan internet.

Selain itu, LPPKN juga telah membangunkan portal e-parenting sebagai medium bagi membimbing dan menyalurkan maklumat positif kepada anggota keluarga dan ibu bapa.

Portal ini memberi akses kepada keluarga dan pasangan suami isteri mengenai tips hubungan dalam perkahwinan, masa bersama keluarga, artikel keibubapaan, khidmat kaunseling secara maya, forum, blog dan perbincangan berkaitan dengan isu kekeluargaan, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain