suria

Lawatan Turun Padang Ke Sarawak Satu Titik Permulaan Optimistik:Najib

KUCHING: Datuk Seri Najib Tun Razak yakin suasana ceria dan sambutan menggalakkan yang diterima oleh beliau dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam lawatan bersama ke Sarawak hari ini merupakan satu titik permulaan optimistik untuk mereka turun padang ke setiap negeri bagi berjumpa dengan rakyat.

"Kita merasa optimis. InsyaAllah sokongan kepada Barisan Nasional (BN) berada di tahap yang baik," kata Perdana Menteri pada persidangan akhbar bersama-sama Muhyiddin di Lapangan Antarabangsa Kuching di sini.

Turut hadir Ketua Menteri sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Najib dan Muhyiddin yang tiba di sini semalam di bawah program turun padang pemimpin yang bermula Sabtu sehingga September depan, telah menghadiri pelbagai program bersama rakyat di negeri ini sepanjang hari, termasuk program Sejiwa Senada di Serian, kira-kira 60km dari sini.

Perdana Menteri berkata dengan adanya program turun padang itu, kerajaan dapat mengenal pasti masalah rakyat dan menyelesaikan perkara yang menjadi rintangan di peringkat akar umbi.

Mengenai pilihan raya negeri Sarawak yang bakal diadakan bulan depan, Najib berkata: "Peringatan yang saya lazim berikan sama ada di peringkat nasional, negeri atau pilihan raya ialah kita mesti mengatur langkah yang tepat dan bijak."

Pengerusi BN itu berkata BN mesti memastikan jentera mereka bergerak dengan rancak dan bekerja kuat.

"Maknanya semua jentera parti BN mesti disusun rapat dan mengambil keputusan yang tepat, terutamanya untuk mengetengahkan calon yang boleh menang pada pilihan raya nanti".- BERNAMA

Artikel Lain