suria

Adenovirus: Langkah Pembersihan Di PULAPOL Berterusan

KUALA LUMPUR: Langkah-langkah pembersihan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini berjalan secara berterusan bagi memastikan jangkitan virus 'Adenovirus' yang berlaku sejak 4 Mac lepas terkawal.

Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Robiah Abd Ghani berkata sehubungan itu, PDRM berpendapat tidak perlu mengasingkan pelatih yang sihat ke maktab berdekatan melainkan ada arahan Kementerian Kesihatan.

"PDRM memberi perhatian serius terhadap jangkitan virus ini dan sentiasa bekerjasama serta mematuhi segala arahan dan nasihat daripada pihak Kementerian Kesihatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Katanya pelatih yang sihat juga dibenarkan menjalani aktiviti riadah, manakala pelatih wanita pula akan dipindahkan ke asrama baru setelah proses pembersihan selesai.

Dalam kenyataan itu juga Robiah mewakili Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mengucapkan takziah kepada anggota keluarga dua pelatih yang meninggal dunia akibat jangkitan tersebut iaitu pelatih Inspektor Mohd Redzuan Ishak, 26, yang meninggal dunia semalam dan pelatih konstabel Mohd Azizan Azirid, 21, yang meninggal dunia minggu lepas.

"Semoga keluarga Allahyarham bersabar atas dugaan tersebut. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman," katanya.

Mengulas perkara berkaitan, Robiah berkata seramai 26 pelatih masih berada di Hospital Kuala Lumpur.

Ini termasuk seorang pelatih konstabel lelaki dan dua pelatih inspektor wanita yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi.

"Seramai 11 pelatih inspektor lelaki, 10 pelatih inspektor wanita serta dua pelatih konstabel lelaki ditempatkan di wad biasa," katanya.

Jumlah pelatih yang menjalani pengasingan pula ialah seramai 478 orang. -BERNAMA

Artikel Lain