suria

Zambry Yakin Unsur Sabotaj Calon BN Tidak Timbul Pada PRU Akan Datang

LUMUT: Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yakin isu sabotaj calon Barisan Nasional (BN) tidak akan timbul pada pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana kata beliau, anggota parti komponen BN telah belajar daripada kesilapan pada pilihan raya umum lepas yang antara lain menyebabkan B N'kehilangan' Perak kepada pembangkang.

"Kali ini mereka tidak akan mempertaruhkan masa depan BN dengan menyokong pembangkang hanya kerana tidak suka calon," katanya pada sidang media selepas Konvensyen BN Perak, di sini, Sabtu.

Zambry yang juga Pengerusi BN Perak berkata selain itu, semua pasrti komponen akan memastikan calon yang dipilih menepati kriteria yang dimahukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Terdahulu, berucap menggulung perbahasan pada konvensyen itu Zambry berkata BN juga telah belajar pelbagai kesilapan yang dilakukan parti tersebut sehingga menyebabkan rakyat menolaknya.

"Kita sudah belajar dan tahu kelemahan untuk diperbetulkan...masa bertanding calon bukan lagi mewakili parti (komponen) tetapi mewakili BN. Tiada lagi bendera parti, semua calon BN," katanya.

Beliau juga berkata semua parti komponen BN harus berkerjasama membetulkan persepsi jahat yang ditimbulkan pembangkang terhadap pemimpin BN, selain meningkatkan usaha memikat pengundi muda yang akan menjadi penentu pada pilihan raya akan datang.

Sementara itu, bekas Ketua Pergerakan Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz yang turut hadir berkata unsur sabotaj adalah antara punca BN 'kehilangan' Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah ke tangan pembangkang.

"Jangan ada lagi ahli yang tidak suka seseorang kerana dia bukan calon pilihan tutup bilik gerakan, pergi makan angin dan tidak mahu berkerja. Tindakan ini boleh menyebabkan parti mengalami kekalahan dalam pilihan raya," katanya ketika berucap di konvensyen itu.

Beliau berkata unsur sabotaj dapat dilihat menerusi jumlah undi rosak di sesetengah kawasan yang jauh lebih tinggi berbanding jumlah undi majoriti yang diterima calon pembangkang.

Bekas Presiden Gerakan Tun Dr Lim Keng Yaik pula menegaskan semua pemimpin BN perlu mengubah sikap dan berani berlaku adil kepada semua kaum dengan menegakkan dasar yang dibuat sebelum ini.

"Mesti adil dan saksama. Inilah perubahan yang perlu ada ketika BN mahu mencari mandat dan perpaduan baru. Jangan takut apa orang lain cakap. Yang penting terangkan kepada rakyat," katanya.

Katanya berlaku adil kepada semua kaum tidak bermakna seseorang pemimpin itu mengabaikan kepentingan kaum parti yang diwakilinya.

Malah kata beliau, rahsia kejayaan pemimpin BN terdahulu adalah kerana semangat tinggi pada kalangan mereka selain mempunyai sifat ingin berkorban dan berdisplin.

Kekuatan BN katanya, bukan terletak pada pemimpin atasan tetapi pemimpin akar umbi yang merupakan wakil kerajaan kepada rakyat. Turut hadir berucap ialah Presiden MCA yang juga Pengerusi MCA Perak Datuk Seri Chua Soi Lek dan bekas Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Seramai 2,175 perwakilan yang terdiri daripada anggota parti komponen BN dan pertubuhan bukan kerajaan yang menyokong BN menyertai konvensyen sehari itu.- BERNAMA

Artikel Lain