suria

Ibu Tunggal Edar Dadah Dihukum Mati

SHAH ALAM: Seorang ibu tunggal warga Singapura dihukum mati mandatori oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat, selepas didapati bersalah mengedar dadah, dua tahun lalu.

Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu terhadap Noor Atiqah Mohd Lasim, 27, selepas mendapati pembelaan yang dikemukakannya gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap pertuduhan.

Beliau pada penghakimannya, mempersoalkan keterangan pembantu peguam itu yang mendakwa beg berisi dadah itu bukan miliknya, sebaliknya kepunyaan seorang individu lain.

"Bagaimana tertuduh boleh membawa beg untuk seseorang yang tidak dikenalinya?," kata Noor Azian.

Dalam kes ini, Noor Atiqah yang mempunyai seorang anak didakwa atas tuduhan mengedar 372.48 gram dadah yang terdiri daripada campuran heroin dan monoacetlymorphine pada pukul 6 pagi, 5 Januari 2009.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di mesin pengimbas 1. Terminal Tambang Murah (LCCT), Sepang, dekat sini.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Wan Zuraida Wan Nawan manakala tertuduh diwakili peguam Mohaji Selamat.

Perbicaraan melibatkan keterangan enam saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan.

Artikel Lain