suria

Melaka Bakal Rombak Barisan Exco, Lantik Exco Baru

MELAKA: Kerajaan Melaka bakal merombak barisan Exco di samping melantik anggota Exco baru bagi menggantikan Allahyarham Datuk Mohd Hidhir Abu Hasan.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, perubahan potfolio itu akan turut menyaksikan mereka yang berpengalaman dan berkeupayaan dalam bidang tertentu dilantik bagi menerajui jawatankuasa tertentu.

Tambahnya lagi, salah seorang ahli dewan undangan negeri (ADUN) di bawah kawasan parlimen Jasin akan menggantikan Mohd Hidhir yang merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar.

“Rombakan ini akan menyokong kecekapan barisan Exco Kerajaan Negeri,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di sini, Isnin.

Persidangan tersebut turut menyaksikan Roslan Ahmad mengangkat sumpah sebagai ADUN selepas kemenangan beliau dalam pilihan raya kecil Merlimau pada Ahad.

Kawasan pilihan raya Parlimen Jasin mempunyai empat kerusi iaitu tiga ADUN daripada Umno dan satu lagi daripada MCA.

Mohd Ali berkata, pengganti jawatan yang disandang oleh Mohd Hidhir sebelum ini kemungkinan daripada Umno.

Rombakan tersebut dijangka akan diadakan pada minggu depan.

Katanya, beliau berharap dengan rombakan itu akan banyak idea baru dapat diketengahkan untuk kemajuan negeri Melaka.

Antara nama yang disebut-sebut bakal dilantik menganggotai barisan Exco baru nanti ialah ADUN Serkam, Ghazale Mohamad dan ADUN Sungai Rambai, Hasan Abdul Rahman.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, Kerajaan Negeri telah menubuhkan satu pasukan bagi mengenal pasti dan mendaftar pengundi-pengundi baru.

Artikel Lain