suria

Bakar Rumah Sendiri, Lelaki Dipenjara Lima Tahun

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad selepas didapati bersalah membakar rumahnya sendiri pada 26 Februari lepas.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu selepas Maliki Mohamed @ Lee See Tee, 39, mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut sebaik sahaja pertuduhan dibacakan kepadanya.

Dia dituduh mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu melakukan khianat dengan api menggunakan mancis dengan membakar rumahnya miliknya di Kampung Balik Bukit, Bandar Permaisuri, Setiu kira-kira pukul 12.30 malam pada 26 Februari lepas.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda.

Mengikut fakta kes, kebakaran yang berpunca dari sebuah stor membaiki motosikal di rumah itu disedari oleh isteri tertuduh yang ketika itu berada di rumah jiran.

Isteri tertuduh yang bergegas balik selepas itu ternampak suaminya di tempat kejadian, dan beliau melaporkan bahawa sebelum kejadian suaminya pernah mengugut untuk membakar rumah.

Akibat kejadian itu mereka mengalami kerugian RM100,000.

Sebelum dijatuhi hukuman, tertuduh yang tidak diwakili peguam dan kelihatan luka melecur di bahagian kaki ekoran kejadian itu sempat memohon mahkamah supaya meringankan hukuman ke atasnya dengan alasan kejadian itu berlaku secara tidak sengaja.

"Ketika kejadian saya hendak menghidupkan api berhampiran stor untuk halau nyamuk, bagaimanapun ketika bangun saya terlanggar botol berisi petrol yang kebetulan tidak ditutup mengakibatkan api marak dan menyambar rumah saya dengan cepat," katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwaraya Zulfazliah Mahmud berkata tertuduh wajar dikenakan hukuman berat yang setimpal kerana perbuatannya itu mengakibatkan kerugian yang besar sehingga RM100,000 selain menyebabkan keluarganya kehilangan tempat tinggal. - BERNAMA

Artikel Lain