suria

Wanita SUPP Digesa Kerja Keras Pastian Kemenangan

SIBU: Sayap wanita Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) diminta bekerja keras memastikan parti itu berjaya mengekalkan kerusi di Bawang Assan, Dudong dan Pelawan dan merampas semula kerusi Bukit Assek daripada DAP pada pilihan raya negeri ke-10.

Menteri Alam Sekitar dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh berkata Barisan Nasional (BN) tidak boleh lagi kehilangan kerusi kepada pembangkang.

Katanya beliau yakin BN akan memenangi empat kerusi Dewan Undangan Negeri dengan bantuan sayap wanita SUPP cawangan Sibu yang diketuai Datin Janet Lau.

"Kita tidak boleh benarkan apa yang dipanggil tsunami politik yang diwar-warkan pembangkang berlaku pada pilihan raya negeri yang bakal diadakan nanti," kata Soon Koh ketika merasmikan majlis sambutan Hari Wanita Sedunia, anjuran wanita SUPP cawangan Sibu di sini malam Isnin.

Pada pilihan raya negeri sebelum ini, parti itu kehilangan kerusi di kawasan majoriti Cina kepada Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng yang juga memenangi pilihan raya kecil Parlimen Sibu, tahun lepas.

Wong mengingatkan anggota wanita SUPP, parti itu menghadapi tugas sukar untuk berdepan DAP terutama di dua kawasan pilihan raya berkenaan.

"Pembangkang telah mewar-warkan tsunami politik berlaku di pilihan raya negeri ini sejak pilihan raya kecil Sibu. Kita mesti buktikan mereka salah," katanya.

Katanya walaupun parti itu mungkin mempunyai kelemahan selepas berkhidmat selama 52 tahun yang lepas, SUPP harus diberi mandat bagi memastikan ia mempunyai cukup perwakilan daripada etnik Cina di dalam kerajaan negeri. -BERNAMA

Artikel Lain