Bekas Tentera Dibelasah Kerana Mencuri - Semasa | mStar

Bekas Tentera Dibelasah Kerana Mencuri

KUALA TERENGGANU: Seorang bekas tentera cedera dibelasah orang ramai setelah disyaki mencuri tiga kampit beras seberat 30kg dan satu tong gas dari sebuah kedai runcit di Kuala Ibai di sini, Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K. Manoharan berkata, dalam kejadian kira-kira 4.45 petang, suspek dipercayai baru sahaja mencuri barangan tersebut sebelum didatangi oleh pemilik kedai terbabit.

"Pekedai runcit berkenaan telah mengesyaki anggota tentera itu mencuri barang-barang di kedainya lalu mengadu kepada orang ramai yang kemudian bertindak membelasah suspek," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Manoharan berkata, akibat kejadian itu suspek mengalami lebam di mata kanan, luka di mulut serta di beberapa bahagian badan dan dia kini ditahan polis.

Katanya, siasatan awal polis mendapati suspek pernah melakukan kes yang sama di tiga buah kedai runcit dengan berpura-pura untuk membeli barang sebelum melarikan barang yang dikehendaki setelah pekedai leka.

Sementara itu, katanyanya polis yang melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Beladau Kolam, Manir, dekat sini kira-kira 10 pagi ini bagi mengesan kes curi motosikal, menemui selaras senapang angin di dalam sebuah stor di rumah berkenaan.

Manoharan berkata, dalam serbuan itu polis turut menemui dua buah motosikal yang disyaki dicuri yang telah dipadamkan nombor casisnya.

Ekoran itu, polis telah menahan dua beradik masing-masing berumur 20 dan 28 tahun bagi membantu siasatan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

BN Menang Bergaya Di DUN Kerdau

Artikel Berkaitan

Artikel Lain