suria

SPR Berpuas Hati Momentum Peratusan Keluar Mengundi

JASIN: Proses pengundian pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau dan DUN Pahang kawasan Kerdau, berjalan lancar, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata selepas sejam pusat mengundi dibuka, sebanyak 14 peratus daripada jumlah pengundi di DUN Merlimau sudah mengundi manakala di DUN Kerdau pula 15 peratus.

Peratusan mengundi di DUN Merlimau meningkat kepada 30 peratus pada pukul 10 pagi dan di DUN Kerdau 36.25 peratus.

"Saya berpuas hati dengan peratusan keluar mengundi itu," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Chin Chin, di sini.

Abdul Aziz berharap momentum peratusan pengundi di kedua-kedua DUN berkenaan akan berterusan sehingga mencapai sasaran 80 peratus apabila semua pusat mengundi ditutup pukul 5 petang ini.

Beliau menasihati penyokong parti yang berada berhampiran pusat mengundi agar mengawal emosi bagi mengelak kejadian yang tidak diingini. - BERNAMA

Artikel Lain