Raikan Kepelbagaian... - Semasa | mStar

Raikan Kepelbagaian...

KUNJUNGAN penulis ke Korea Selatan baru-baru ini telah menyedarkan penulis tentang satu perkara --- kita harus meraikan kepelbagaian kita sebagai sebuah negara kerana itulah sebenarnya kekuatan kita. Malah kita sendiri mungkin tidak pernah mahu menyedari akan hakikat ini kerana untuk sekian lamanya masyarakat kita dibeza-bezakan mengikut turutan bangsa - Melayu, Cina, India dan lain-lain.

Perbezaan ini ditambah lagi oleh sistem politik yang kita warisi sejak merdeka sehingga sekarang yang membahagi-bahagikan kepentingan dan perjuangan untuk negara berasaskan kaum. Jika pembaca semua tidak tahu maka sukalah penulis mengingatkan bahawa tidak ada mana-mana negara di dunia ini yang mengamalkan sistem politik berasaskan kaum sepertimana Malaysia.

Di negara-negara lain, sistem politik mereka sama ada berasaskan ideologi politik mahu pun agama tetapi kita agak unik kerana asas kepartian politik kita adalah berasaskan kaum. Walaupun terdapat kemunculan parti-parti tertentu yang memperlihatkan konsep kepelbagaian kaum tetapi pada hakikatnya, ia masih dimonopoli atau didominasi oleh satu kaum.

Tapi tidak apalah, kerana itulah juga keunikan kita. Cuma bagaimanakah kita dapat melihat perbezaan kita ini sebagai satu landasan untuk kita bergerak ke hadapan bersama-sama dalam bentuk sebuah negara. Keunikan ini sebenarnya dirasai dan dihargai oleh warga luar sepertimana yang telah disaksikan oleh penulis ketika berada di Korea. Pada setiap majlis yang kami hadiri, masyarakat Korea terpegun melihat wajah-wajah kami yang pelbagai tidak sepertimana wajah mereka yang seragam dan ini bagi mereka adalah satu anugerah yang tiada tolok bandingannya untuk sebuah negara.

Mereka bukan sahaja kagum malah menganggapnya sebagai satu keunikan yang perlu dibanggakan. Kata mereka, jarang sekali dapat dilihat sebuah negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai etnik yang berbeza kerana bagi mereka atau pada fahaman mereka, sebuah negara diwakili oleh satu wajah yang seragam.

Dan ketika di Korea juga, penulis telah bertemu dengan seorang Datin (bukan Melayu) yang ketika diberitahu yang penulis adalah dari akhbar Mingguan mStar, lantas berkata yang beliau adalah pembaca setia mStar.

Walaupun mengakui yang beliau berhadapan dengan kesukaran untuk memahami dan membaca dalam bahasa kebangsaan disebabkan latarbelakang pendidikannya yang bukan dari aliran kebangsaan tetapi beliau berikhtiar untuk terus membacanya kerana katanya mStar adalah akhbar yang memperlihatkan konsep kepelbagaian atau pluralisme atau majmuk di dalam pemberitaannya. Ia adalah akhbar untuk semua bukan hanya untuk kaum Melayu semata-mata.

Jika ini dapat dijadikan model kepada halatuju sebuah akhbar arus perdana dalam bahasa kebangsaan maka Mingguan mStar mahu sahaja mengambil peranan tersebut dalam perjalanannya yang jauh dan masih panjang ini. Malah kewujudan dan kelahiran Mingguan mStar adalah atas kepercayaan bahawa negara ini perlu ada sebuah akhbar yang benar-benar membawa mesej kepelbagaian dan pluralisme sebagai kekuatan kita dalam erti kata sebuah negara.

Penulis sedar ini bukanlah satu misi yang mudah kerana untuk menukar set minda wartawan-wartawan penulis sendiri sahaja mengambil masa yang panjang kerana mereka juga sepertimana masyarakat Malaysia yang lain telah terbiasa bekerja dalam persekitaran mengikut acuan dan kehendak kaum masing-masing.

Namun begitu, cabaran inilah yang menjadi daya penarik dan kekuatan yang ingin disahut oleh penulis dan pasukan kami di mStar. Kami berazam untuk menjadi lebih majmuk dalam penceritaan kami dan untuk itu mengapa tidak kita raikan kepelbagaian kita sebagai satu kekuatan untuk hari esok yang lebih baik yang boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia yang pelbagai.

Esok (28 Februari) genaplah setahun usia Mingguan mStar dan walaupun kami baru berusia setahun jagung tetapi kami mahu menjadi jagung pilihan rakyat Malaysia.

Apabila rakyat Bangladesh datang untuk langgan Astro...

Ya, ini adalah satu peristiwa yang jarang-jarang berlaku tetapi telah disaksikan sendiri oleh penulis di sebuah pusat pelanggan Astro yang terletak di pinggiran bandar baru-baru ini. Seorang rakyat Bangladesh datang dan mahu melanggan Astro. Dan dia hanya mahu melanggan untuk selama sebulan sahaja - iaitu sepanjang tempoh Kriket Piala Dunia yang kini sedang berlangsung sekarang.

Sudah tentulah permintaannya itu tidak dapat ditunaikan oleh pengurusan Astro. Bagaimanapun lelaki Bangladesh ini terus mendesak dan mendesak dan mendesak sehingga memeningkan kepala kakitangan pusat pelanggan Astro itu. Untuk seketika, dia kelihatan membuat panggilan telefon. Pastinya panggilan itu adalah kepada rakan-rakan sebiliknya yang sedang menanti dengan penuh debaran di rumah sewa mereka akan keputusan hasil rundingan ‘wakil’ mereka dengan pihak Astro.

Akhirnya, dia keluar dengan penuh hampa. Di luar, penulis telah mencuba untuk bertanya kepadanya apa sebenarnya yang terjadi tadi. Dia menjawab; “Sir, cricket is very important to us Sir...we cannot live without cricket...” (Tuan, kriket sangat penting kepada kami tuan...kami tidak boleh hidup tanpa kriket).

Penulis rasa kesian melihat kesungguhannya untuk menonton perlawanan siaran langsung kriket tetapi tidak kesampaian kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Maka penulis pun terkenang kembali kenangan penulis ketika mengembara mengeliling dunia suatu ketika dahulu. Sewaktu kami mengembara merentasi Bangladesh, India dan Pakistan pada tahun 1987, di mana-mana sahaja kami menyaksikan orang-ramai bermain kriket - dari si tua sehinggalah kepada kanak-kanak.

Saleem Khan, rakan kami sewaktu mengembara di Pakistan telah memberitahu, penjajah Inggeris telah berjasa ke atas dua perkara besar di bumi kecil India (India, Pakistan dan Bangladesh) iaitu bahasa Inggeris dan kriket. Bahasa Inggeris menyatukan India kerana mereka memiliki beratus bahasa dialek yang sukar untuk dipilih sebagai bahasa rasmi dan persuratan dalam sistem pentadbiran kerajaan melainkan bahasa Inggeris yang difahami oleh semua orang yang ke sekolah.

Yang kedua ialah kriket - tidak memerlukan padang besar seperti bola sepak dan mudah untuk dimainkan. Untuk seketika, kriket juga menjadi faktor perdamaian antara ketiga-tiga buah negara ini yang mempunyai sejarah permusuhan dan perpisahan yang memedihkan.

Artikel Sebelum

Rafidah Bakal Pengerusi AirAsia X

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain