suria

109 Orang Ditahan, Termasuk Lapan Pemimpin Kanan Hindraf Dan HRP

KUALA LUMPUR: Seramai 109 orang, termasuk lapan pemimpin kanan Hindraf dan Hak Asasi Manusia (HRP) ditahan polis kerana berdemonstrasi secara haram bagi membantah novel Interlok di sini, Ahad.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah bagaimanapun enggan mengulas sama ada pemimpin Hindraf P.Uthayakumar turut ditahan.

Beliau berkata yang ditahan termasuk lapan wanita, serta dua pemberita media alternatif yang ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas polis.

Mereka yang berumur antara 18 dan 66 tahun ditahan dalam tempoh 24 jam ini mengikut Seksyen 27 (5) Akta Polis kerana menyertai demonstrasi haram, dan ada di antara mereka yang ditahan mengikut 45 (1) Akta Pertubuhan 1966 memandangkan polis menolak permohonannya untuk mengadakan demonstrasi, katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan di sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan Jalan Pudu sejak 8 pagi tadi, dan polis juga turut merampas baju yang berbaur provokasi serta jika perlu polis akan melanjutkan tempoh tahanan reman mereka.

Zulkifli turut merakamkan penghargaan polis kepada 13 persatuan bukan kerajaan kaum India yang membantu memujuk masyarakat India supaya tidak menyertai demonstrasi haram itu yang antara lain mendesak kerajaan membatalkan buku Interlok daripada dijadikan buku teks serta mahukan pemimpin Hindraf yang ditahan dibebaskan.

Di Kepala Batas, Pulau Pinang, Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak menolak kemungkinan beberapa tindakan kumpulan Hindraf termasuk mengadakan demonstrasi, adalah bermotifkan politik.

Bekas Perdana Menteri itu berkata kumpulan berkenaan berkemungkinan mempunyai agenda dan helah tertentu.

"Kalau (tindakan Hindraf) sama dengan apa yang berlaku pada masa saya (menjadi Perdana Menteri) mungkin (mereka) nak pecahkan undi.

"(Tapi pada masa ini) ia adalah untuk menarik orang India supaya tak sokong Barisan Nasional (BN) tapi sokong parti pembangkang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan peralatan dan jentera kepada 18 peladang di sini, Ahad.

Beliau diminta mengulas mengenai beberapa tindakan Hindraf sejak akhir-akhir ini yang boleh mencetuskan kekecohan termasuk mengadakan demontrasi di ibu negara.

Bagaimanapun, Abdullah berkata dengan pelbagai pendekatan yang dilakukan oleh kerajaan BN, kumpulan Hindaf sukar mendapat sokongan daripada kaum India di negara ini.

Di Kuala Lumpur, Timbalan Presiden MIC Datuk Dr S. Subramaniam berkata Hindraf tidak sepatutnya mengadakan demonstrasi bagi membantah novel 'Interlok' itu, kerana mereka boleh menyalurkan pandangan dengan berlandaskan undang-undang yang ada di negara ini.

Katanya, sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi setiap rakyat mempunyai hak untuk menyatakan pandangan, namun perlu melalui cara yang betul dan teratur.

"Kita adalah sebuah negara yang mendaulatkan undang-undang dan ini ada dalam Rukun Negara kita. Kalau mereka mahu beri pandangan ambillah nasihat polis, berkumpul di tempat di mana polis telah beri kelulusan, di situ mereka boleh beri pandangan mereka," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.- BERNAMA

Artikel Lain