suria

Jabatan Agama Islam Sabah Kuatkuasa Undang-Undang Murtad Tahun Depan

TAWAU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) akan menguatkuasakan undang-undang murtad di Sabah mulai tahun depan sebaik sahaja pusat pemulihan akidahnya di Kinarut siap pertengahan 2011.

Pengarah Jheains Datuk Amri A.Suratman berkata pada masa ini jabatan itu lebih menekankan pendekatan mendidik kepada pesalah syariah dan akidah berbanding mengambil tindakan undang-undang.

"Pelaksanaan undang-undang ini merupakan sebahagian daripada Pelan Strategik untuk lima tahun akan datang katanya kepada Bernama selepas menangguhkan Persidangan Pegawai-pegawai Kanan Jheains 2010 di sini malam Jumaat.

Isu saudara baru kembali ke agama asal sering menjadi bahan perbincangan pada perhimpunan agung tahunan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) dan pada perhimpunan baru-baru ini Usia Bahagian Ranau mendedahkan ratusan saudara baru di daerah itu kembali murtad.

Usia mendakwa antara punca saudara baru kembali ke agama asal ialah kerana mereka terabai dan tidak mendapat bimbingan sewajarnya tentang Islam selepas mereka menganut agama suci berkenaan.

Amri berkata semua imam di Sabah akan telibat secara langsung untuk memberi penerangan dan kaunseling kepada masyarakat, khususnya saudara baru di kawasan masing-masing terutama generasi muda bagi memastikan mereka memahami undang-undang syariah.

Mengenai usaha dakwah, beliau berkata, Jheains akan memberi tumpuan kepada kawasan strategik dan luar bandar terutama kawasan yang mempunyai bilangan saudara baru yang ramai.

"Pegawai-pegawai dakwah kita akan memfokuskan kepada masalah ibadah. Perkara ini akan dilaksanakan secara berterusan," katanya.

Persidangan itu antara lain membincangkan usaha mempertingkatkan pengurusan hal ehwal Islam melalui budaya kerja berasaskan prestasi dan berkaitan pelaksanaan undang-undang Syariah dan Dakwah. - BERNAMA

Artikel Lain