suria

Pelajar Rabun Di Johor Peroleh 8A Dalam PMR

JOHOR BAHARU: Seorang pelajar perempuan yang mengalami masalah rabun membuktikan kecacatan penglihatan yang dialaminya tidak menjadi penghalang untuk memperoleh 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini, yang keputusannya diumumkan pada Khamis.

Ting Kai Li, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Temenggong Ibrahim, Batu Pahat, berkata dia berasa sangat terkejut dengan keputusan itu kerana tidak menyangka mendapat pencapaian yang cemerlang.

"Saya mempunyai jadual belajar yang ditetapkan dan akan memastikan sentiasa mengikut jadual tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman keputusan PMR oleh Pengarah Pelajaran Johor Markom Giran di sini pada Khamis.

Ting, yang turut dianugerahkan pelajar cemerlang kategori pelajar pendidikan khas (bermasalah penglihatan), berkata dia menggunakan masa lapangnya dengan bermain piano ataupun mendengar muzik klasik.

Anak sulung daripada tiga adik beradik itu berkata dia amat meminati subjek Bahasa Inggeris dan bercita-cita menjadi seorang doktor.

Farah Raihanah Atan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Perhentian, Pontian, pula dianugerahkan pelajar cemerlang kategori pelajar pendidikan khas (bermasalah fizikal) apabila memperoleh 4A, 3B dan 1D.

Farah Raihanah, 15, yang menghidap autisme sejak berumur tiga tahun, berkata dia banyak mengulang kaji pelajaran di perpustakaan sekolahnya denagn dibantu oleh guru.

"Saya suka mata pelajaran Sejarah dan Bahasa Inggeris, dan saya suka membaca novel ataupun cerpen berunsur sejarah," kata Farah Raihanah yang bercita-cita menjadi seorang penulis. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain