suria

22 Syarikat Konsesi Lebuh Raya Beri Diskaun Dan Rebat Sempena Krismas - LLM

KAJANG: Sejumlah 22 syarikat konsesi lebuh raya akan memberi diskaun kadar tol dalam bentuk tunai dan rebat dari 5 hingga 37 peratus, bermula dari 22-31 Disember ini bersempena perayaan Krismas dan Tahun Baru akan datang.

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ir Ismail Md Salleh berkata, ia merupakan kesinambungan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk membantu memberi nilai tambah serta menghargai para pengguna di kesemua lebuh raya tersebut.

"Untuk program ini, kesemua konsesi telah bersetuju untuk menanggung pemberian insentif diskaun ini sebanyak RM1 juta, dan kita berharap para pengguna dapat menggunakannya dengan sebaik mungkin.

"Terdapat sesetengah konsesi memberi diskaun daripada pukul 12 malam hingga 7 pagi, di mana tujuannya adalah untuk menggalakkan para pengguna menggunakan lebuh raya ketika waktu tersebut, di samping mengurangkan kesan kesesakan yang teruk pada waktu siang," katanya pada sidang media di ibu pejabat LLM di sini, Rabu.

Antara konsesi lebuh raya terlibat ialah Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (LDP), Lebuhraya Sistem Penyuaraian Trafik KL-Barat (Sprint), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Duta Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Cheras Kajang (Grand Saga) dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

Syarikat lain turut terlibat ialah Lebuhraya Koridor Guthrie, Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA), Lebuhraya KL-Putrajaya (KLP), Lebuhraya SMART, Lebuhraya Kajang SILK, Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB), Lebuhraya METRAMAC, Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan Lebuhraya Lembah Kelang Selatan (SKVE).

Sementara itu, Ismail berkata, pihak LLM telah mengambil langkah rapi untuk menghadapi sebarang kemungkinan seperti kesesakan luar biasa, kemalangan, tanah runtuh dan sebagainya.

Antara langkah-langkah yang dikenal pasti ialah penyediaan tambahan 15 hingga 17 kereta penunda di beberapa lokasi strategik dan menambah jumlah pekerja sebanyak 20 peratus untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang memerlukan tindak balas yang pantas.

Pihak LLM juga kemungkinan akan menutup dan mengalih aliran trafik melalui jalan alternatif jika terdapat kemalangan yang serius dan melibatkan kehilangan nyawa untuk memastikan aliran lancar serta tidak mengganggu kerja-kerja pihak berkuasa.

Sehubungan itu, Ismail berkata, para pengguna jalan raya diminta memandu dengan berhemah serta berhati-hati memandangkan musim cuaca yang tidak menentu serta keadaan jalan raya yang agak licin akibat hujan yang berterusan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain