suria

Pemasangan 496 CCTV Di Kawasan 'Panas' Seluruh Negara Siap Mac Depan

GEORGE TOWN: Sebanyak 496 buah kamera litar tertutup (CCTV) yang sedang dalam proses pemasangan di kawasan "panas" di seluruh negara dijangka siap pada Mac depan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop.

Beliau berkata pemasangan CCTV itu dengan kos RM59 juta merupakan usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengekang gejala jenayah di negara ini dan langkah itu terkandung di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Dalam usaha ini PDRM telah bekerjasama dengan 25 PBT, dari segi infrastruktur telah siap tetapi dari segi teknikalnya masih belum siap lagi," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang sempena lawatan kerjanya di sini, Rabu.

Katanya selain dilihat sebagai usaha yang dapat memberikan hasil 'segera" pemasangan CCTV juga merupakan satu daripada langkah segera dalam pelaksanaan program bandar selamat di bawah NKRA.

Beliau berkata konsep Penang Intergrated Publis Safety System (PIPS) yang diperkenalkan sejak 14 Februari 2008 telah menjadi sistem CCTV rujukan di negara ini dan juga luar negara.

Abu Seman berkata PIPS merupakan sistem yang direka bentuk untuk mengintegrasikan semua 31 CCTV di tiga pusat kawalan iaitu di bilik kawalan trafik Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (CCC Pulau Pinang) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut (DCC Timur Laut).

Projek yang dibiayai sepenuhnya oleh MPPP dengan kos sebanyak RM5.8 juta secara sewaan bagi tempoh lima tahun merupakan sistem yang pertama di Asia menggunakan Broadband Wireless Access (BWA) 4.9 GHz, katanya.

Beliau berkata sistem ini turut diintegrasikan dengan fungsi sistem pengumuman awam, kiosk kecemasan dan sistem kestabilan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain