suria

Ikan Air Tawar Untuk Menu Utama Rakyat Malaysia

SERDANG: Ikan air tawar perlu menjadi menu utama rakyat Malaysia kerana mempunyai protein yang cukup tinggi dan ini sekali gus akan meningkatkan pengeluaran industri akuakultur negara.

Menurut Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood, dalam meningkatkan pengeluaran ikan air tawar, Jabatan Perikanan turut menjadikan ikan air tawar sebagai menu pilihan dalam sajian di asrama milik kerajaan sebagai sumber alternatif kepada protein selain hasil daripada laut.

“Pengeluaran ikan laut ini sudah sampai pada satu tahap yang cukup tinggi dan kita tidak boleh tambah lagi walaupun penduduk semakin meningkat. Kita perlu memberi pilihan baru kepada rakyat Malaysia yang terlalu bergantung kepada ikan laut.

“Justeru, kita perlu tetapkan pengeluaran ikan laut ini kerana sumber daripada laut itu terhad bagi kita,” katanya pada sidang akhbar Promosi Masakan Ikan Air Tawar di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (Maha 2010) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, Selasa.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Johari Baharum.

Dalam promosi tersebut, sebanyak lapan menu masakan utama daripada setiap negeri dihidangkan seperti asam pedas, Johor; gulai tempoyak ikan patin, Pahang dan umai daripada Sarawak.

Sementara itu, beliau berkata, permintaan ikan tawar tempatan di peringkat antarabangsa turut menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan yang mampu memberi pulangan yang besar kepada pengusaha ikan air tawar.

“Permintaan terhadap pengeluaran ikan air tawar dijangka terus mencatatkan peningkatan iaitu daripada RM2.4 bilion (478,245 tan metrik) tahun lalu kepada RM7 bilion (727,300 tan metrik) menjelang 2015.

“Setakat ini, permintaan terhadap ikan air tawar telah menembusi pasaran Eropah dan Amerika Syarikat serta turut diperluaskan ke Timur Tengah. Oleh itu, kita harap ia akan menembusi beberapa lagi negara lain yang berpotensi tinggi untuk mendapatkan pulangan pendapatan tinggi dalam sektor perikanan di negara ini,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain