suria

Majikan Wajib Sedia Premium Di 31 Panel Insurans Berdaftar

KUALA LUMPUR: Semua majikan pekerja asing diwajibkan menyediakan premium insurans kesihatan berserta permit pekerja asing mereka menerusi 31 panel insurans berdaftar di Kementerian Sumber Manusia apabila penguatkuasaan insurans kesihatan pekerja asing dikuatkuasakan mulai 1 Januari depan.

Timbalan menteri berkenaan Datuk Maznah Mazlan berkata jika majikan gagal berbuat demikian, mereka boleh dikenakan tindakan selain kementerian tidak meluluskan pembaharuan permit pekerja.

Sehubungan itu, kementerian akan mengadakan sesi dialog dan perbincangan khusus dengan majikan dan pihak terbabit bagi memberi pemahaman mendalam kepada mereka mengenai pelaksanaan penguatkuasaan itu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hitachi Charity Flea Bazaar di Saloma Theatre Restaurant di sini, Ahad.

Ketika ditanya bantahan majikan mengenai keputusan kerajaan mewajibkan semua pekerja asing di negara ini memiliki insurans kesihatan bernilai RM120 setahun berkuat kuasa 1 Jan depan, beliau berkata ia adalah perkara biasa apabila sesuatu perkara baru mahu dilaksanakan.

"Selepas diumumkan suatu perubahan akan ada pelbagai reaksi, ada gembira dan tidak gembira dan ada yang tidak kisah, bagaimanapun ini dianggap proses biasa yang perlu ditangani," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata langkah mewajibkan insurans pekerja asing itu bertujuan mengurangkan tunggakan bayaran bil hospital yang kini mencecah RM18 juta berikutan pertambahan kemasukan pekerja asing.

Langkah itu juga merupakan satu daripada enam projek permulaan (EPP) dalam segmen penjagaan kesihatan yang dikenal pasti di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) bagi memacu pencapaian ekonomi.

Mengenai bazar mengumpul dana bagi Program Pendidikan Character Persatuan Keamanan Global Malaysia (GPA) yang akan diperkenalkan di universiti tempatan tahun depan, Maznah berkata para majikan dan pertubuhan bukan kerajaan harus mencontohi program seumpama itu sebagai melaksanakan tanggungjawab sosial semangat 1Malaysia.

Hitachi Asia (Malaysia) Sdn Bhd mengadakan bazar bersama-sama GPA sempena menyambut ulang tahun ke-100nya dengan menjual barang-barang peribadi termasuk buku, aksesori, cakera video digital, kasut dan permainan sumbangan 3,800 pekerja syarikat elektronik itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain