suria

Ketuanan Melayu: Kita Bukan Hendak Jadi Tuan - Noh

SHAH ALAM: Isu Ketuanan Melayu yang dibangkitkan oleh beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah tidak tepat kerana memberikan gambaran yang salah iaitu seolah-olah menunjukkan seperti orang Melayu ingin menjadi 'tuan', kata Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata gambaran yang dibuat oleh pemimpin PKR mengenai Ketuanan Melayu salah sama sekali dan hanya dengan niat untuk menjaga kepentingan politik mereka melalui pakatan yang telah dibuat dengan parti pembangkang lain.

"Ketuanan Melayu bukan bermakna kita hendak jadi 'tuan' ia salah sama sekali. Ketuanan Melayu bermaksud segala perkara dan hal yang telah termaktub dalam perlembagaan mengenai hak orang Melayu dipertahankan," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata contohnya seperti ketua negara adalah Raja-Raja Melayu jadi ia perlu dipertahankan dan dihormati bukannya dihapuskan sesuka hati kerana ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mendakwa pemimpin PKR sendiri tidak faham mengenai Ketuanan Melayu dan gagal mempertahankannya seperti isu beberapa exco kerajaan Selangor yang tidak menggunakan bahasa kebangsaan pada kepala surat rasmi mereka dan ruangan masjid yang dimasuki oleh bukan Islam sehingga menuntut campur tangan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

"Dalam konteks ini Ketuanan Melayu yang kita mahu pertahankan ialah kesucian agama Islam sebagai agama rasmi dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang termaktub dalam perlembagaan.

"Itulah maksud Ketuanan Melayu yang perlu dipertahankan tetapi ia gagal dilakukan oleh PKR," kata Noh.

Sementara itu seorang ahli akademik, Datuk Profesor Dr Ramlah Adam memberitahu wartawan bahawa mereka yang inginkan supaya konsep "Ketuanan Melayu" itu ditinggalkan, adalah pihak-pihak yang tidak faham sejarah negara atau orang yang memang ingin melihat perselisihan kaum berlaku di Malaysia.

Beliau berkata soal Ketuanan Melayu memang sudah tercatat elok dalam Perlembagaan Persekutuan dan tidak payah dipersoalkan lagi selain itu ia juga dimasukkan dalam buku-buku teks sejarah di sekolah.

Ramlah yang juga Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pangajian Polisi Universiti Teknologi MARA berkata demikian ketika diminta mengulas isu Ketuanan Melayu semasa Wacana Raja Berperlembagaan - Perspektif Sejarah, Kini dan Masa Depan anjuran Kerajaan Selangor, di sini pada Isnin.

Beliau berkata isu Ketuanan Melayu ini cuma ditimbulkan oleh sesetengah orang politik yang cuba merebut kuasa politik.

"Mereka cuba mengelirukan rakyat dan dapatkan pengaruh. Ini saya rasakan kita kena didik orang ramai supaya lebih berhati-hati atau pun lebih mahir dengan perlembagaan kita, bahasa kita, budaya kita," katanya.

Sebelum itu semasa sesi soal jawab wacana berkenaan, Ramlah berkata para ahli politik perlu lebih profesional dan bertanggungjawab semasa berceramah mengenai sejarah negara dengan memberikan fakta yang benar bukannya mengikut terjemahan dan fahaman sendiri.

Ahli-ahli sejarah seperti beliau terpaksa menyelidik dokumen-dokumen lama atau sejarah lisan jika tiada dokumen ataupun mengkaji artifak-artifak lama bagi mendapatkan perspektif sejarah yang betul, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain