suria

Dr Rebecca Fatima Sta Maria Dilantik KSU MITI

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Dr Rebecca Fatima Sta Maria dilantik sebagai Ketua Setiausaha kementerian itu mulai 6 Disember.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata Sta Maria akan menggantikan Tan Sri Abdul Rahman Mamat yang bersara wajib setelah mencapai umur 58 tahun pada 5 Disember.

Beliau juga mengumumkan pelantikan Zulkafli Abdul Karim, Pengarah Kanan, Bahagian Perancangan Strategik, kementerian itu untuk mengambil tempat Sta Maria.

"Bagi pihak Perkhidmatan Awam, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Abdul Rahman di atas segala sumbangan dan khidmat bakti beliau kepada perkhidmatan awam dan negara selama 35 tahun, terutama di sepanjang tempoh beliau memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha MITI," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Mohd Sidek berkata Miti akan mendapat faedah daripada pengalaman luas dan pengetahuan kedua-dua pegawai dalam mempromosi dan mengatur strategi daya saing global Malaysia di arena perdagangan antarabangsa dan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan terpilih dan menjadi antara negara pedagang yang paling berdaya saing pada tahun 2020.

Ketua Setiausaha Negara berkata Sta Maria, 53, dilantik sebagai KSU yang baru berdasarkan pengalaman dan pengetahuan beliau, yang selari dengan hala tuju semasa MITI dalam melaksanakan dasar-dasar pelaburan, pembangunan perindustrian dan perdagangan luar negara, seiring dengan aspirasi, wawasan dan perubahan transformasi negara.

Sta Maria berkelulusan Doktor Falsafah dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia dari Universiti Georgia, Athens, Amerika Syarikat, Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling dari Universiti Putra Malaysia dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Inggeris dari Universiti Malaya.

Beliau memulakan perkhidmatan sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 1 Disember 1981, dengan karier perkhidmatan awam yang bermula sebagai Penolong Setiausaha, Bahagian Perdagangan Antarabangsa, MITI dari 1981 hingga 1992.

Dari tahun 1993 hingga 2002, beliau ditempatkan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) sebelum kembali ke MITI untuk menjawat jawatan Pengarah Penyelidikan dan Penerbitan, Bahagian Perancangan Strategik.

Pada tahun 2005, beliau dilantik menjadi Pengarah Kanan, Bahagian Dasar Pelaburan dan Perkhidmatan Perkilangan di MITI sebelum memegang jawatan Timbalan KSU mulai 3 September 2006.

Zulkafli, 56, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Fizik dari Universiti Malaya, memasuki Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 5 Januari 1981.

Beliau berpengalaman dalam bidang pengurusan perdagangan dan industri menerusi karier perkhidmatannya selama 29 tahun di MITI, termasuk menjadi Setiausaha Pertama (Ekonomi), Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia di Geneva, dan Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia, Cologne. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain